suria

Raja Muda Perlis Tinjau Empat Pulau Kawasan Ops Pasir

TAWAU: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Khamis meninjau empat buah pulau dalam kawasan Ops Pasir sektor Selatan di sini dan bertemu anggota pasukan keselamatan yang bertugas di situ.

Pulau-pulau yang dilawati baginda ialah Sipadan, Kapalai, Mabul dan Menampilik yang terletak berhampiran Semporna.

Baginda, yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah, turut menyerahkan sumbangan kuih raya kepada para anggota pasukan keselamatan berkenaan.

Di Pulau Sipadan, baginda turut melakukan pelepasan benih-benih penyu ke dalam laut manakala di Kapalai, baginda melawat lokasi penginapan anggota keselamatan di pulau batu karang itu.

Bagi pulau-pulau berpenghuni seperti Mabul dan Menampilik, baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut beramah mesra dengan para penduduk selain anggota pasukan keselamatan.

Ketibaan baginda di Pulau Mabul disambut penghulu pulau itu, Jamaluddin Supu dan para penduduk yang berbaris panjang untuk bersalaman dengan baginda.

Tuanku Syed Faizuddin turut menyumbangkan pakaian kanak-kanak kepada penduduk pulau yang menjadi tumpuan pelancong itu.

Di Pulau Menampilik, baginda turut melancarkan kempen cintai alam dan selamatkan penyu dengan menasihati para penduduk supaya turut bersama-sama menjaga kebersihan pantai dan menghargai penyu.

Turut serta meninjau Ops Pasir sektor Selatan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid, Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain