suria

Perincian Perjanjian Baru MAS-AirAsia

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS), AirAsia Bhd dan Airasia X Sdn Bhd yang memeterai rangka kerja kolaborasi komprehensif (CFF) pada Selasa akan membolehkan kedua-dua gergasi penerbangan awam di Malaysia itu memanfaatkan kekuatan teras masing-masing.

Rangka kerja itu akan termasuk perjanjian kolaborasi untuk meneroka peluang bekerjasama dalam pelbagai bidang.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak berkata bagi mengukuhkan kerjasama dan kepentingan bersama, MAS dan AirAsia akan mengeluarkan waran percuma kepada setiap pemegang saham antara satu sama lain.

CIMB Group ialah penyusun bagi janji niaga baru tersebut. Penasihat bebas akan dilantik bagi menasihati pemegang saham minoriti mengenai cadangan waran itu, katanya dalam pembentangan janji niaga itu di sini, Selasa. Nazir juga berkata, Tune Air Sdn Bhd dan Khazanah Nasional Bhd, masing-masing pemegang saham utama AirAsia dan MAS bersetuju untuk membeli daripada saham sedia antara satu sama lain.

Hasilnya, Tune Air akan memegang 20.5 peratus saham dalam MAS dan Khazanah akan memegang 10 peratus saham dalam AirAsia, katanya, sambil menambah Khazanah akan terus menjadi pemegang saham utama dan tunggal terbesar MAS.

"Perjanjian itu akan berkuat kuasa segera selepas pelaksanaannya dan kekal bagi tempoh lima tahun daripada tarikh perjanjian kolaborasi, dengan opsyen untuk pembaharuan lima tahun lagi," katanya.

Nazir juga berkata, jawatankuasa kolaborasi bersama itu telah dibentuk untuk melaksanakan satu perjanjian kolaborasi, yang merupakan sebahagian daripada rangka kerja tersebut.

Ia akan dipengerusikan oleh ahli lembaga MAS iaitu Datuk Mohamed Azman Yahya dengan ahli lembaga lain termasuk Pengarah Eksekutif MAS Mohammed Rashdan Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Kamarudin Meranun.

Satu panel penasihat, yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, juga ditubuhkan bagi memastikan semua pihak yang terlibat dalam rangka kerja itu bertindak demi kepentingan awam dan mencerminkan aspirasi semua pengguna.

Rangka kerja itu juga akan menyaksikan pelantikan Mohamed Azman dan Mohammed Rashdan sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas dalam AirAsia dan pengarah bergilir-gilir, berkuat kuasa pada 11 ogos.

Pada masa yang sama, Tony dan Kamarudin akan dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas MAS, berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Ditanya mengenai bentuk sinergi yang bakal dilahirkan daripada janji niaga itu, Nazir berkata masih terlalu awal untuk dinyatakan.

Mengenai harga pertukaran saham itu, Nazir berkata ia ditentukan berdasarkan kepada harga pada 5 Ogos.

Artikel Lain