suria

Warga Iran Diberkas Di KLIA Bawa Syabu Bentuk Kepala Harimau

SHAH ALAM: Polis menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis syabu yang dibentuk menjadi replika kepala harimau dan diletakkan di dalam kotak sebagai cendera hati dalam rampasan di balai ketibaan KLIA Selasa.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata dalam rampasan pada 11 pagi itu, polis menahan seorang lelaki warganegara Iran berusia 26 tahun yang membawa replika berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini Rabu, beliau berkata dalam rampasan berasingan, helah seorang lelaki warganegara Nigeria yang cuba menyeludup masuk dadah jenis syabu menggunakan ikan kering berjaya dikesan oleh pihak polis yang melakukan pemeriksaan di KLIA.

Beliau berkata dalam rampasan yang dilakukan pada Isnin lepas, polis menahan suspek berusia 31 tahun dan menemui 15 potong ikan kering.

"Selepas diperiksa kita menemui kira-kira satu kilogram dadah jenis syabu yang disembunyikan pada bahagian dalam ikan kering berkenaan," katanya.

Tun Hisan berkata nilai kedua-dua rampasan itu dianggarkan mencecah RM1.8 juta.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang pertama kali datang ke negara ini ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut.

Dalam kes berasingan, Tun Hisan berkata polis menahan lima lelaki termasuk tiga warganegara India berusia antara 30 dan 40 tahun dalam serbuan di sebuah kedai menjual barangan lusuh di Bandar Bukit Puchong dekat sini 29 Julai lepas dan menemui 226 barangan termasuk kabel syarikat telekomunikasi yang dipercayai dicuri dari Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Kedah, Pahang dan Pulau Pinang.

Katanya, terdapat 13 lokasi kejadian curi kabel di Selangor antaranya ialah Seksyen 30 Shah Alam, Saujana Utama Sungai Buloh, Bandar Bukit Puchong di Puchong, Kuang, Gombak dan Putra Heights di Subang Jaya.

"Kita memandang berat kes curi kabel di Selangor dan akan mengambil tindakan tegas di mana sehingga Julai lepas sebanyak 261 saman telah dikeluarkan kepada pengusaha premis barangan lusuh di Selangor kerana pelbagai kesalahan termasuk membeli barangan curi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain