suria

Pakatan Rakyat Desak Najib Adakan Sidang Parlimen Tergempar

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada Selasa mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengadakan sidang Parlimen tergempar dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu penukaran status pemastautin tetap (PR) kepada warganegara Malaysia yang diubah dalam masa tidak sampai 24 jam.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata desakan itu dilakukan ekoran penemuan beberapa bukti jelas dalam bentuk cetakan, status kerakyatan sebelum dan selepas pertukaran di laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berjaya dikesan PAS Selangor pada awal bulan lalu.

"Kita akan menyerahkan surat kepada Perdana Menteri bagi membincangkan isu besar yang sangat berbahaya dan boleh mengancam keselamatan negara. Kita bagi beliau tempoh seminggu untuk beri maklum balas," katanya pada sidang media di ibu pejabat Pakatan Rakyat di sini, Selasa.

Menurut beliau, seramai 1,597 pemegang kad merah di seluruh negara dari 1 Mac hingga 31 Jun ini telah didaftarkan dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) tanpa menyertakan alamat.

Katanya, bilangan tertinggi dicatatkan di Selangor dengan 1,108 penduduk tetap telah dimasukkan ke dalam daftar pemilih yang layak mengundi.

"Kami tidak boleh bertolak-ansur terhadap pengkhianatan yang dilakukan JPN.

"Penduduk tetap yang ikut prosedur biasa untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan mengambil masa sehingga 10 tahun atau lebih, tapi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras proses itu hanya mengambil masa tidak sampai dua jam," dakwanya lagi.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pemimpin pakatan rakyat hanya mendedahkan sebahagian daripada bukti berhubung penipuan itu dan yakin lebih banyak kes lagi tidak dikesan.

"Oleh itu kita menolak perlaksanaan sistem biometrik. Apa yang dituntut oleh Bersih adalah relevan.

"Sekarang kita mahu panggil Perdana Menteri. Siapa yang jadi 'kepala', kami akan dedahkan di Parlimen nanti," ujarnya.

Terdahulu, Salahuddin mendakwa beberapa nama yang bertukar status daripada PR kepada warganegara yang diperoleh menerusi laman web JPN.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar turut menuntut Perdana Menteri supaya mengotakan janji beliau untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Dalam ucapan Perdana Menteri pada 31 Julai lalu, beliau menyatakan kebimbangan mengenai kewujudan 'pengundi hantu' tapi dalam tempoh beberapa jam saja, pemastautin tetap mendapat taraf kerakyatan dan boleh mengundi.

"Ini isu besar. Oleh itu, beliau wajib mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan perkara ini. Sehingga hari ini, beliau masih belum memberi sebarang komen berhubung isu itu," katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong (DAP), Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (PAS), Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

Artikel Lain