suria

Kerajaan Pahang Hentikan Lesen Pembalakan Kepada Individu

JERANTUT: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata kerajaan negeri telah memberhentikan sebarang pengeluaran lesen pembalakan kepada pihak individu.

Bagaimanapun beliau berkata kerajaan negeri masih bersedia menimbangkan lesen pembalakan kepada syarikat-syarikat pembalakan.

"Kita turut mengetatkan syarat pembalakan termasuk kawasan tadahan air dilarang sama sekali daripada aktiviti pembalakan, jika kawasan tersebut dibalak sudah tentu tiada lagi kawasan simpanan air untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis mesra bersama rakyat di sini.

Adnan berkata kerajaan negeri juga telah menyediakan garis panduan yang ketat dalam aktiviti pembalakan bagi memastikan kawasan tadahan air dan hutan simpanan dapat dipulihara sepenuhnya.

"Pembalakan yang tidak terancang dan tidak mengikuti garis panduan alam sekitar bukan sahaja akan memusnahkan kawasan hutan malah turut memusnahkan kawasan hijau dan sumber air negeri.

Mengulas mengenai pengumuman anggota Parlimen Jerantut Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang mahu menarik diri pada pilihan raya umum akan datang, Adnan berkata beliau akan berbincang dengan pucuk pimpinan parti berhubung perkara berkenaan.

"Walaupun Tengku Azlan umum pada satu majlis di Jerantut minggu lepas, tetapi itu keputusan sendiri, namun ia kena ambil kira denyut nadi rakyat dan anggota parti serta politik semasa.

"Bagi diri saya tiada masalah, tetapi ia perlu dibincang dengan lebih teliti dan mendalam," kata Adnan.

Tengku Azlan yang juga Ketua Umno Bahagian Jerantut telah dipilih sebagai anggota parlimen kawasan berkenaan sejak tiga penggal lepas.

Beliau satu-satunya keluarga Diraja Pahang yang aktif dalam politik dan pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain