suria

Jangan Politikkan Hasil Siasat Kematian Teoh

KUALA LANGAT: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar menasihati parti pembangkang agar jangan mempolitikkan hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kematian pembantu politik Teoh Beng Hock.

Katanya pembangkang sepatutnya menerima keputusan itu memandangkan kerajaan telah memenuhi segala permintaan mereka, termasuk menubuhkan inkues dan suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian Teoh.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama rakyat Parlimen Kuala Langat di sini, Sabtu.

Teoh, setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor, pada 16 Julai, 2009, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Khamis lepas, suruhanjaya itu mengumumkan keputusannya dalam laporan setebal 124 muka, bahawa kematian Teoh adalah akibat membunuh diri.

Suruhanjaya itu ditubuhkan pada 26 Jan selepas Mahkamah Koroner menyampaikan keputusan terbuka dalam kes berkenaan.

Sementara itu, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bekerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk memperluaskan program ladang kontrak di negara ini.

Beliau berkata ia bagi memastikan hasil tanaman petani kecil di kampung dapat dipasarkan secara sistematik.

Pada majlis itu, Noh turut mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM200,000 bagi petani-petani kecil membangunkan ladang kontrak di daerah Kuala Langat.- BERNAMA

Artikel Lain