suria

Suami Isteri Dan Anak Maut, Tujuh Lagi Cedera

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri berserta anak tunggal mereka berusia dua tahun maut setelah kenderaan yang mereka naiki terbabas dan melanggar tiang lampu di KM305.5 Lebuhraya Utara Selatan dekat sini, pukul 11.50 malam tadi.

Zulkifle Zainul, 29, seorang vendor surat khabar, yang memandu kereta tersebut berserta isteri Nur Nazirah Sungip, 20 dan anak mereka Mohd Adam Danis meninggal dunia di tempat kejadian.

Tujuh orang lagi yang turut menaiki kenderaan tersebut turut cedera.

Dua orang daripada mereka cedera parah dan dirawat di Hospital Serdang, sementara lima lagi hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang, kata Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias kepada Bernama di sini, Ahad.

Beliau berkata mereka sedang dalam perjalanan pulang ke Bangi setelah melawat anggota keluarga yang nazak di Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak di sini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Tinjauan Bernama mendapati suasana hiba menyelubungi perkarangan rumah mayat Hospital Serdang dimana kira-kira 50 orang anggota keluarga dan rakan mangsa berkumpul untuk membawa pulang jenazah ketiga beranak itu untuk dikebumikan di tanah perkuburan Felda Jengka 3, Jengka, Pahang pada Ahad.

Artikel Lain