Keamanan Negara Berkait Rapat Dengan Perpaduan Ummah:Agong - Semasa | mStar

Keamanan Negara Berkait Rapat Dengan Perpaduan Ummah:Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin malam Sabtu bertitah bahawa keamanan sesebuah negara adalah berkait rapat dengan perpaduan ummah.

Seri Paduka bertitah sesungguhnya Islam melarang umatnya membiarkan perselisihan pendapat, pandangan atau apa-apa keadaan yang akhirnya melemahkan negara, dan perkara ini turut ditekankan dalam al-Quran.

Malah "Islam mengajar kita bahawa setiap perselisihan pasti ada penyelesaian manakala penyelesaian yang dicapai hasil daripada pendekatan dengan cara yang berhemah mengikut cara Rasulullah adalah yang lebih mulia dan terpuji di sisi Allah," titah baginda ketika merasmikan Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa ke-53 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini yang bertemakan 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah'.

Tuanku Mizan bertitah untuk itu, umat Islam perlu menghayati perihal Rasulullah SAW yang telah menunjukkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara.

"Iaitu dengan mengukuhkan persefahaman dan perpaduan warganegara Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan. Rasulullah dalam Piagam Madinah mewajibkan semua penduduk Madinah agar menyayangi dan menghormati bumi Madinah," titah baginda.

Seri Paduka bertitah antara yang termaktub dalam piagam itu ialah sesiapa yang melakukan perkara-perkara yang menjejaskan perpaduan di kalangan warga Madinah maka orang itu dikira sebagai mencabul kesejahteraan Madinah.

Tuanku Mizan turut bertitah jika ada perselisihan pendapat dan sukar untuk mencari keputusan, maka Allah telah menggariskan supaya al-Quran dan al-Sunnah dijadikan tempat rujukan seperti firman Allah dalam Surah An Nisa.

"Inilah yang ingin beta tekankan supaya kita kembali kepada ajaran Islam sebenar," titah baginda.

"Namun harus kita fahami bahawasanya ini bukanlah bermakna Islam menolak perbezaan pendapat kerana Islam mengharuskan kepelbagaian pendapat tentang sesuatu perkara untuk menghasilkan kebaikan," titah baginda.

"Beta percaya bahawasanya keamanan negara berkait rapat dengan perpaduan ummah. Perkara ini ditunjukkan dengan kehancuran empayar-empayar hebat pada masa lampau akibat perlakuan rakyatnya yang tidak bersatu padu malah mengenepikan persefahaman dalam menjaga kemakmuran negara.

"Sesungguhnya Islam melarang umatnya membiarkan perselisihan pendapat, pandangan atau apa-apa keadaan yang akhirnya melemahkan negara," titah baginda.

Turut berangkat Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Seramai 81 peserta termasuk 50 qari, dari 50 negara akan mengambil bahagian dalam tilawah kali ini yang akan berakhir pada 23 Julai ini.

Malaysia diwakili oleh qari Amirrahman Abas dan qariah Suraya Abu Hassan yang muncul johan pada majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54 di Kuching, Sarawak.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.