suria

Enam Jawatankuasa Ditubuh Untuk Selaras Pembangunan Herba

PUTRAJAYA: Enam jawatankuasa ditubuh di bawah Majlis Pembangunan Herba Negara dalam usaha menyelaras dan menambah baik setiap rantaian nilai industri herba dari segi penghasilan produk sehingga kepada sektor pemasaran.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Pembangunan Industri Huluan, Jawatankuasa Pembangunan Industri Hiliran dan Pembangunan Produk, Jawatankuasa Klinikal dan Pra-Klinikal, Jawatankuasa Monograf, Jawatankuasa Pemasaran dan Jawatankuasa Pembangunan Industri.

"Kalau rantaian nilai ini dapat dibangunkan melalui jawatankuasa yang telah ditubuhkan, saya lihat masa depan industri herba dalam negara begitu cerah sekali," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertama majlis itu di sini Khamis.

Noh berkata industri herba merupakan industri yang sedang berkembang pesat dan Bank Dunia menganggarkan pasaran herba global akan meningkat kepada AS$5 trilion pada tahun 2050.

Beliau berkata berikutan itu, kerajaan memilih industri herba sebagai satu daripada bidang yang diberi tumpuan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) sektor pertanian dengan unjuran penyumbangan sebanyak RM2.214 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara pada tahun 2020.

Pada tahun ini sahaja kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM73.1 juta bagi membangunkan sektor herba termasuk untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk serta penanaman herba secara besar-besaran di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang melibatkan kawasan seluas 1,400 hektar, katanya.

Noh berkata pada masa ini kerajaan menumpukan kepada pembangunan enam jenis herba iaitu Tongkat Ali, Dukung Anak, Kacip Fatimah, Mas Cotek, Hempedu Bumi dan Misai Kucing.

Beliau berkata kerajaan juga merancang untuk mengadakan sistem 'contract farming' bagi membolehkan penanam-penanam kecil turut menyertai program itu serta dapat memasarkan produk herba mereka.

Kerajaan juga melihat kemungkinan untuk menyatukan produk-produk herba itu di bawah satu jenama yang sama bagi memudahkan ia dikenali di peringkat antarabangsa serta mengurangkan kos pemasaran.

Majlis Pembangunan Herba Negara ditubuhkan pada 6 Feb lepas dengan ahli-ahlinya dilantik daripada wakil kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta pihak swasta yang terlibat dalam industri herba, untuk menyelaras dan menentukan hala tuju industri herba negara.- BERNAMA

Artikel Lain