suria

Dasar 30% Peneraju Wanita Di Sektor Korporat Bukan Soal Kuota

KUALA LUMPUR: Dasar penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus golongan wanita di peringkat membuat keputusan dalam sektor korporat yang diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini, tidak wajar dilihat sebagai satu agenda mengisi kuota sebaliknya sebagai suatu sasaran kerajaan.

Pengarah Institut NAM Bagi Memperkasa Wanita (NIEW), Tan Sri Datuk Dr. Rafiah Salim berkata, sasaran tersebut bukan bertujuan untuk melantik golongan wanita sewenang-wenangnya untuk memenuhi kuota tetapi kepada melantik wanita yang berkaliber dan berkemampuan.

Menurutnya, sasaran untuk memperbanyakkan penglibatan wanita mengisi jawatan penting sudah pun dimulakan umpamanya dalam sektor awam sejak tahun 2004 lagi.

"Kita sebenarnya sudah mempunyai kira-kira 32% golongan wanita sebagai pembuat keputusan dalam sektor awam. Jika digunakan kuota, sememangnya penglibatan mereka akan terhenti di paras 30% sahaja.

"Apapun, jangan terkejut jika saya mengatakan bahawa wanita yang dilantik dalam sektor awam adalah setimpal malah jauh lebih baik daripada kaum lelaki. Kita yakin ada ramai wanita di luar sana yang berkelayakan,'' katanya ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penetapan penglibatan sekurang-kurangnya 30% wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat merupakan penanda aras penting kepada pembangunan negara.

Pengarah NIEW itu menegaskan, pelantikan wanita ke jawatan-jawatan penting wajib dibuat sekiranya mereka didapati berkemampuan dan layak dari segi merit.

Beliau juga turut menafikan penetapan 30% wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat sebagai keputusan yang dibuat secara terburu-buru sambil menyifatkan, agenda berkenaan telah dibincang dan diperhalusi dengan teliti.

Artikel Lain