suria

Populasi Malaysia Dijangka Cecah 35 Juta Menjelang 2020 - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Populasi Malaysia dijangka mencecah 35 juta orang menjelang tahun 2020, jika mengambil kira trend keluarga nukleus generasi kini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Kita tidak menetapkan sebarang sasaran. Namun, berdasarkan kadar dan trend pada masa ini, yang menyaksikan unit keluarga lebih kecil (berbanding generasi sebelumnya), kita sepatutnya mencecah jumlah 35 juta orang menjelang 2020," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kependudukan Antarabangsa 2011 di sini Isnin.

Populasi Malaysia kini seramai 27 juta orang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata ketika ini, sebanyak 9.9 peratus daripada populasi Malaysia berusia 60 tahun ke atas, dan jumlah ini akan meningkat kepada 15 peratus menjelang 2030.

Justeru, Shahrizat berkata sebagai persediaan awal bagi berdepan situasi 'negara menua', kementerian akan memgemukakan kertas cadangan berhubung perkara itu dalam tempoh sebulan kepada Kabinet.

"Kita hendak membuat perancangan strategik bagaimana kita boleh menggunakan warga emas sebagai sumber kepada pembangunan negara. Mereka patut dilihat sebagai sumber, dan bukan beban," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shahrizat berkata bagi menangani keperluan warga emas yang semakin meningkat, kerajaan meluluskan Dasar Warga Tua dan Pelan Tindakan berkaitan pada Januari lepas.

Beliau bekata antara lain, pelan tindakan itu menyebut negara memerlukan 700 pakar geriatrik menjelang 2020. Ketika ini, terdapat hanya 21 pakar geriatrik di negara ini.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh, kita juga kini sedang meneliti opsyen untuk program keselamatan sosial yang lebih komprehensif bagi golongan tua dan mereka yang menderita akibat pengangguran, penyakit serta ketidakupayaan.

"Kami sedang mengorientasikan peruntukan perkhidmatan pusat penjagaan pada masa depan ke arah integrasi warga tua ke dalam masyarakat," katanya.

Sehingga kini, terdapat 22 pusat penjagaan warga emas yang dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain