suria

Cabarannya bukan prasarana tapi sikap...

Cheonggyecheon sebelum pemulihan.
Cheonggyecheon sebelum pemulihan.
Cheonggyecheon sebelum pemulihan.

PADA Selasa lalu, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) telah melancarkan satu projek besar-besaran bernilai RM4 bilion yang dinamakan Sungai Nadi Kehidupan. Projek ini adalah sebahagian daripada projek Greater Kuala Lumpur yang bakal merubah wajah ibu kota kita sebagai salah sebuah bandar raya nadi kehidupan di dunia. Hasrat Kuala Lumpur ialah untuk menduduki senarai 20 teratas di dunia.

Untuk merealisasikan hasrat ini, Projek Sungai Nadi Kehidupan ini perlu memulihkan 11 batang sungai sepanjang 10.7 kilometer yang menyusuri Lembah Klang dan bertemu dengan dua batang sungai yang sangat sinonim dan dekat di hati kita semua iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak. Memulihkan 11 batang anak sungai ini akan memulihkan Sungai Klang dan Sungai Gombak. Matlamat akhirnya ialah menjadikan kedua-dua batang sungai ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Datuk Bandar Kulala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, projek tersebut merangkumi usaha pembersihan sungai sepanjang 110 kilometer secara keseluruhannya dengan kos sebanyak RM3 bilion dan tambahan RM1 bilion lagi bagi usaha pengindahan koridor sungai sepanjang 10.7 kilometer di dalam kawasan bandar raya sahaja.

Ahmad Fuad berkata, proses pengindahan itu merangkumi 11 kawasan bermula daripada koridor sungai di Titiwangsa, Pekeliling, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sime Darby, Dang Wangi, Raja Laut, Masjid Jamek, Stesen Kereta Api, Brickfields, Kuala Lumpur Sentral dan Seputeh.

“Fasa pertama akan dimulakan di kawasan Titiwangsa. Ini termasuk pelan untuk membina jambatan, rangkaian laluan berbasikal dan pejalan kaki. Objektif utama kita adalah untuk menghubungkan laluan kedua-dua sungai ini dengan membina jaringan pengangkutan air yang boleh digunakan oleh orang awam,” katanya lagi.

Bagi membolehkan masyarakat awam memahami dengan lebih mendalam lagi matlamat projek besar ini, beliau turut melancarkan seminar dua hari ‘Projek Sungai Nadi Kehidupan’ di institut latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Bandar Tun Razak.

Bagaimanapun, Ahmad Fuad menjelaskan, cabaran utama yang dihadapi oleh mereka adalah usaha untuk membersihkan sungai sepanjang 110 kilometer itu serta usaha penempatan semula penduduk setinggan dan kilang haram di sekitar kawasan yang digazetkan sebagai sebahagian daripada Projek Sungai Nadi Kehidupan ini.

Sebanyak lima syarikat telah disenarai pendek yang bakal diberikan kontrak projek pengindahan sungai tersebut. Mereka akan dinilai daripada aspek skop kerja, reka bentuk, daya maju ekonomi dan keaslian. Tiga syarikat antarabangsa dan dua syarikat tempatan akan menyertainya. Orang ramai boleh melihat dan mengundi pelan induk yang bagaimanakah menjadi pilihan mereka untuk projek ini di laman web www.riveroflife.com.my hingga 28 Julai ini.

Sebuah panel yang terdiri daripada para pakar akan dilantik untuk membuat penilaian terhadap pelan tersebut. Mereka akan dinilai daripada dua aspek iaitu undian daripada orang ramai sebanyak 20 peratus dan 80 peratus daripada juri. Pemenang akan diumumkan pada 30 Julai ini.

Tetapi sebelum orang ramai termasuk penulis sendiri mengundi untuk menentukan pelan induk yang bagaimanakah yang menjadi pilihan ramai masyarakat ibu kota untuk dilaksanakan, adalah lebih baik untuk penulis mencadangkan agar semua orang melihat sejenak bagaimana pihak berkuasa bandar raya Seoul memulih dan menjadikan Sungai Cheonggyecheon - daripada yang tercemar dan terkotor di dunia kepada sungai yang paling bersih dan paling cantik di dunia. (layari http://en.wikipedia.org/wiki/Cheonggyecheon).

Sejak dari Dinasti Joseon lagi, sungai ini menjadi nadi kepada sebahagian besar masyarakat Seoul sehingga mereka menggunakannya tanpa putus berabad-abad lamanya dari satu generasi kepada satu generasi yang lain. Menjelang perang dunia, sungai ini dikelilingi oleh setinggan yang akhirnya menjarah Cheonggyecheon yang ketika itu masih menggunakan nama lamanya iaitu Gaecheon sehingga ke tahap pencemaran yang luar biasa. Selepas pendudukan Jepun, sungai ini mendapat namanya hari ini iaitu Cheonggyecheon.

Cheonggyecheon dikondemkan sebagai sungai tercemar tahap luar biasa menjelang tahun 1970-an apabila revolusi perusahaan melanda Korea dan tahun-tahun berikutnya menyaksikan satu jajaran lebuhraya bertingkat dibina di atasnya.

Bagaimanapun pada tahun 2003, Datuk Bandar Seoul, Lee Myung-bak dengan azam yang tekad telah melancarkan projek pemulihan dan pemuliharaan Sungai Cheonggyecheon dengan kos bernilai beratus juta dolar. Dia dikritik hebat kerana melancarkan satu projek yang dikatakan membazir tetapi tanpa menghiraukan segala kritikan tersebut berjaya mentransformasikan sungai itu menjadi kebanggaan rakyat Korea dan Seoul.

Hari ini, tidak ada pelancong luar (termasuk penulis sendiri) yang menjejakkan kaki ke Seoul tidak dibawa ke sungai ini untuk merasai sendiri kehebatan hasil pemulihan dan pemuliharaan yang telah dilakukan. Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melakukan lawatan kerja ke Korea Selatan baru-baru ini telah dibawa melihat sungai ini dari dekat.

Apakah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad akan dikenang sebagai orang yang bertanggungjawab merubah wajah Sungai Klang dan Sungai Gombak menjadi sepertimana Cheonggyecheon? Penulis pasti, Ahmad Fuad sendiri telah ke Cheonggyecheon untuk melihat kehebatan pemulihan sungai itu sebelum melancarkan Projek Sungai Nadi Kehidupan Selasa lalu.

Tetapi sebelum itu, satu pesanan penulis untuk Ahmad Fuad. Cabaran paling besar yang dihadapinya dalam projek ini bukanlah soal prasarana dan pelan induk tetapi ialah bagaimanakah dia mampu mengubah sikap seluruh penduduk Lembah Klang agar tidak lagi membunuh Sungai Klang dan Sungai Gombak dengan menghumban segala-galanya - dari plastik, bulu ayam, lampin bayi sehinggalah najis ke dalam sungai kita. Sikap kena berubah dulu barulah yang lain-lain akan berjaya. Entah bagaimana, Lee Myung-bak telah berjaya melakukannya di Seoul. Kini giliran kita semua untuk membantu Ahmad Fuad menjayakan misi besar ini. Ayuh...

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain