suria

Benjy Diperintah Bela Diri Tuduhan Miliki Dadah

KUALA LUMPUR: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy pada Jumaat dipanggil membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram di kediamannya di Menara Duta 2 di sini tahun lepas.

Majistret Hafizza Sauni membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan terdapat kes prima facie.

Benjy, 33, didakwa memiliki dadah itu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Persimpangan Jalan Segambut di sini pada 4 petang 11 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Hafizza menetapkan 19 dan 20 Julai ini untuk Benjy membela diri.

Hafizza bagaimanapun melepas dan membebaskan Benjy daripada tuduhan memiliki dadah seberat 0.14 gram yang dijumpai di sebuah rumah lain iaitu di Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru, di sini pada 3 petang hari yang sama. Sepanjang perbicaraan yang bermula tahun lepas pihak pendakwaan memanggil 14 saksi.

Benjy diwakli peguam Amer Hamzah Arshad manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abdul Halim. - BERNAMA

Artikel Lain