suria

Agus Salim Dijangka Diusir Ke Negaranya Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Seorang anggota kumpulan militan warga Indonesia, Agus Salim, 34, yang ditahan pada 6 Jun lepas dijangka akan diusir ke negara asalnya Isnin ini, kata Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata siasatan polis terhadap Agus telah selesai dan kini ia (kes) di bawah tanggungjawab Imigresen untuk tindakan selanjutnya dengan mengikut undang-undang sedia ada.

"Sebenarnya ia bukan tanggungjawab kita lagi...ia di bawah undang-undang Imigresen bukan polis. Kita (polis) hanya menyiasat. Kita berpuas hati dengan segala siasatan yang dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan rasmi Program Diploma Sains Siasatan (DSS) Sesi 2009/2010 yang mewakili Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, Jumaat.

Agus, 34, berasal dari Medan, Indonesia, yang pernah ditahan di negara ini sebelum diusir ke negara asalnya dua tahun lepas, kali ini ditahan atas kesalahan Imigresen kerana didapati menggunakan identiti palsu pada pasport perjalanan sah negara ini untuk masuk semula ke Malaysia.

Agus sebelum ini ditahan kerana merancang untuk membawa keluar pengganas paling dikehendaki Asia Tenggara, Mas Selamat Kastari, yang bersembunyi di dalam negara untuk pulang semula ke Indonesia pada 2009.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau berkata Universiti Malaya (UM) telah membantu melatih pegawai-pegawai polis menimba pengetahuan dan kemahiran sejak tahun 2001.

"Sehingga kini, seramai 287 pegawai pelbagai pangkat telah memperoleh Diploma Sains Siasatan hasil daripada kerjasama UM ini. Inilah peranan mulia institusi pengajian tinggi awam dalam memartabatkan PDRM," katanya.

Pada majlis itu, seramai 38 graduan yang terdiri daripada 32 Pegawai PDRM, empat Pegawai Polis Diraja Brunei Darussalam (PDRB) dan dua Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima sijil program DSS.

Kesemua mereka telah berjaya menempuh 12 bulan di alam pengajian dan hampir kesemuanya telah mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.7 ke atas. - BERNAMA

Artikel Lain