suria

Perhimpunan:Zahid Yakin Kemampuan Polis Laksana Undang-Undang Dan Kawal Keadaan

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin dengan kemampuan polis melaksanakan undang-undang serta mengawal keselamatan negara dalam menangani perhimpunan haram yang dirancang 9 Julai ini.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya akan mengambil alih tugas mengawal negara sekiranya mendapat perintah daripada Yang di-Pertuan Agong yang mengisytiharkan darurat.

"Kami mempunyai kuasa yang terhad. Oleh kerana itu, kami hanya akan bertindak jika perintah daripada Yang di-Pertuan Agong yang isytiharkan darurat barulah kami mangambil alih tugas mengawal negara," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai persediaan pasukan itu dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal perhimpunan haram yang dirancang diadakan pada 9 Julai ini.

Ahmad Zahid bagaimanapun berharap tidak ada perintah darurat dikeluarkan, yang menyebabkan pasukan itu mengambil alih tugas mengawal negara.

"ATM bersiap siaga. Bukan hanya sebelum dan selepas berlakunya perancangan untuk perhimpunan haram itu, tapi kita sudah siap siaga," katanya.

Ahmad Zahid sebelum itu mengingatkan orang ramai terutama warga ATM sendiri agar tidak menyertai atau menyokong perhimpunan tersebut.

"Yang di-Pertuan Agong jelas secara rasmi meminta rakyat tidak terlibat dalam perhimpunan itu. Ia haruslah dipatuhi dan seperti yang kita tahu, Ordinan Darurat telahpun digunakan oleh PDRM terhadap individu tertentu," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang terlibat dalam perhimpunan haram itu, baik si baju kuning atau merah, supaya dan tidak melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang.

Ahmad Zahid sebelum itu merasmikan Latihan Ketenteraan Askar Wataniah (Platun Seni) di Rejimen 515, Askar Wataniah di sini.

Seramai 22 artis tempatan termasuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terlibat dalam sesi latihan pertama itu pada Isnin.- BERNAMA

Artikel Lain