suria

Lelaki Maut, Rakan Parah Ketika "Buru" Emas Di Gunung Tabai, Bau

BAU: Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah apabila terowong sempit menuju ke bekas lombong emas di kaki Gunung Tabai di sini, runtuh dalam kejadian malam Jumaat.

Phil Gojiak, 19, yang mengalami kecederaan di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya Dalia Goded, 37, cedera apabila kaki kanannya dihempap batu besar dan kini dirawat di Hospital Bau.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Supritendan (DSP) Mohd Sabri Zainal berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika kedua-dua mereka bersama dua lagi dalam perjalanan menggali emas di kawasan lombong tinggal itu.

Bagaimanapun, terowong sempit sedalam enam meter tersebut tiba-tiba runtuh dan kedua-dua mereka dihempap batu besar manakala dua lagi sempat menyelamatkan diri, katanya kepada pemberita, di sini Sabtu.

Beliau berkata mayat mangsa yang tersepit di celah runtuhan batu berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat kira-kira 5.30 pagi hari ini.

Kedua-dua lelaki tersebut berasal dari Kampung Pisa, Krokong dan sering kali mengunjungi lombong tinggal itu bagi menggali emas di kaki gunung terbabit.

Ini merupakan tragedi kedua melibatkan penggali emas di lokasi yang sama. Pada Mac lepas, seorang lelaki berusia 28 tahun maut selepas 'tertanam hidup-hidup' ketika leka menggali emas di lokasi berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain