suria

UPP Rampas Rokok Dan Minuman Keras Bernilai RM1 Juta

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam menumpaskan kegiatan satu sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai hampir RM1 juta serta menahan dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Kasim, dekat sini.

Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Muhammad Zunaidi Abdullah berkata rokok dan minuman keras itu dipercayai diseludup dari pulau bebas cukai, Langkawi untuk diedarkan kepada pelanggan mereka di sekitar Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya hasil maklumat orang ramai, sepasukan anggota UPP menyerbu rumah yang dijadikan stor penyimpanan barang-barang tersebut di Kilometer 24 Jalan Sintok, dekat sini kira-kira 1 tengah hari Selasa.

Dua lelaki, seorang warga tempatan dan seorang Myanmar berusia dalam lingkungan 20-an yang berada dalam rumah tersebut diberkas, katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata setelah diperiksa pasukan itu menemui 4,455 kartun rokok di dalam rumah dan 4,700 kartun lagi dalam lori di hadapan rumah yang kesemuanya bernilai lebih RM940,000 manakala nilai 220 krate minuman keras lebih RM40,000, kesemuanya termasuk cukai.

Muhammad Zunaidi berata warga Myanmar tersebut juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan perjalanan, dipercayai masuk ke negara ini secara haram.

Kedua-dua lelaki itu ditahan di pejabat UPP Bukit Kayu Hitam untuk siasatan lanjut.

UPP turut menahan lori yang digunakan bagi membawa barang-barang seludup itu yang bernilai kira-kira RM20,000, tambahnya.

Beliau berkata ini merupakan rampasan terbesar UPP Bukit Kayu Hitam bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tidak lulus Kastam. -BERNAMA

Artikel Lain