suria

Polis Tahan 26 Lelaki Terlibat Dalam Judi Sabung Ayam

SANDAKAN: Polis menahan 26 lelaki yang disyaki terlibat dalam perjudian sabung ayam dalam serbuan di sebuah rumah di Batu 5 Jalan Lintas Sibuga pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata kesemua lelaki itu, berumur antara 30 hingga 68 tahun, ditahan di premis berkenaan ketika polis melakukan serbuan itu pada pukul 2.35 petang.

Turut dirampas dalam serbuan itu adalah 13 ekor ayam sabung, 14 sarung taji ayam dan tiga sangkar ayam, katanya di sini, Isnin.

Menurutnya rumah tersebut yang tidak berpenghuni dijadikan tempat melakukan kegiatan perjudian sabung ayam itu yang dianjurkan pada hujung minggu.

Rowell berkata adalah menjadi kesalahan kepada sesiapa sahaja menyertai perjudian sabung ayam mengikut Seksyen 3(a) Penganiayaan Binatang Ordinan Kesalahan Kecil.

Katanya serbuan itu adalah tindakan yang diambil bagi membanteras kegiatan perjudian haram di daerah ini daripada berlelusa. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain