suria

Siasatan SPRM Ke Atas Abdul Taib Tidak Jejas Imej Sarawak - Dr Stephen Rundi

KUCHING: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berhubung isu penyelewengan balak tidak akan menjejaskan imej Sarawak.

Setiausaha Agung Barisan Nasional negeri Datuk Dr Stephen Rundi berkata masyarakat tidak sepatutnya menjatuhkan hukuman mengenai isu itu kerana ia masih berbentuk dakwaan, melainkan dibuktikan sebaliknya oleh agensi terbabit.

"Ya, saya percaya beliau tidak bersalah," kata Dr Rundi yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam dan Kemudahan Awam kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kesihatan, Kesejahteraan, Kecantikan dan Halal Sarawak, di sini Jumaat.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed semalam, yang dilapor berkata SPRM dalam proses mengumpul maklumat mengenai dakwaan itu susulan pembekuan aset Taib oleh Agensi Anti Rasuah Switzerland.

Ditanya sama ada kerajaan negeri mengetahui akan siasatan itu, Dr Rundi berkata: "Isunya bukan kita tahu atau tidak. Pihak berkuasa berhak menyiasat dan membuktikannya."

Menurut sumber berita asing, Ketua Jabatan Hal Ehwal Luar Switzerland Micheline Calmy-Rey dilaporkan menyedari tentang dakwaan itu dan telah mengemukakan maklumat mengenai aset Taib di Switzerland kepada badan kawal selia, FINMA (Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland) untuk siasatan lanjut.

Mengenai satu lagi isu kontroversi, Dr Rundi berkata kekurangan dana akan menghalang pihak berkenaan untuk membersihkan Sungai Tabuan yang teruk tercemar selepas dijadikan tempat pembuangan sampah oleh penduduk setempat.

Agensi berkaitan termasuk Dewan Bandaraya Kucing Selatan, Lembaga Sungai Sarawak, Jabatan Kesihatan serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak harus mendapatkan kerjasama badan bukan kerajaan dan komuniti setempat untuk menjalankan gotong-royong, bukan menuding jari pada satu sama lain, katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga mengalu-alukan kesediaan DAP untuk membantu menerusi pembidaan dana persekutuan bagi membersihkan sungai itu.

Dua lagi sungai yang dikenal pasti sebagai paling teruk tercemar di negeri ini ialah Sungai Maong dan Sungai Miri, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain