suria

Zahid Sanggah Tanggapan Ramai Bekas Tentera Menentang Kerajaan

SEREMBAN: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan tanggapan bahawa ramai di kalangan veteran tentera yang menentang kerajaan.

"Tidak ramai veteran tentera yang menentang kerajaan jika orang ramai membuat andaian sebegitu melalui tulisan blog-blog bekas tentera yang banyak memenuhi ruang internet, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno bahagian Rasah di sini, Jumaat.

Beliau berkata walaupun ada yang tidak berpuas hati dengan kerajaan tetapi kerajaan tetap membela mereka misalnya melalui pembentukan Akta Veteran yang akan dibentang di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai terdapat bekas anggota tentera melalui blog mereka meluahkan bahawa kerajaan tidak lagi membela nasib mereka selepas mereka bersara awal.

Zahid berkata apabila pencen anggota tentera mendapat wang gratuiti tetapi ada yang habis begitu sahaja akibat mereka rugi dalam perniagaan atau atas sebab-sebab lain, tetapi kerajaan akan tetap membantu mereka.

Mengenai isu politik, beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata Timbalan Presiden PAS yang baru dipilih Mohamad Sabu sedang cuba membuktikan kredibilitinya apabila menganjurkan Perhimpunan Bersih yang dijangka dibuat pada 9 Julai ini.

"Mat Sabu sebenarnya bernasib baik apabila menang kerana PAS sedang mengalami perpecahan. Beliau cuba buktikan beliau mampu mewakili golongan ulama dan profesional tetapi sebenarnya beliau bukan dari kedua-dua golongan ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain