suria

Najib Berlepas Ke Kazakhstan Penuhi Jemputan Nazarbayev

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad berlepas ke Kazakhstan bagi melakukan lawatan rasmi selama dua hari ke negara bekas Soviet Union itu.

Beliau yang ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 11.45 pagi.

Lawatan rasmi pertama Najib ke Kazakhstan selepas menjadi Perdana Menteri ini adalah antara lain bagi memenuhi jemputan Presiden Nursultan Nazarbayev.

Selain itu Najib juga akan menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia kali ketujuh (WIEF ke-7) di Astana dan dijangka berucap pada pembukaan Forum itu pada 8 Jun.

Perdana Menteri turut diiringi oleh beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan itu menggambarkan inisiatif berterusan oleh Malaysia untuk membangunkan hubungan dua hala merangkumi pelbagai bidang yang membawa manfaat bersama dengan Kazakhstan.

Semasa lawatan itu, Najib dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Nazarbayev dan mengadakan rundingan dua hala dengan rakan sejawatannya Karim Massimov.

Lawatan rasmi Najib ke Kazakhstan dan penyertaan beliau dalam WIEF ke-7 akan mengukuhkan hubungan politik yang akrab selain merintis laluan ke arah kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Kazakhstan demi manfaat bersama.

Ia juga bagi meneroka peluang serta kerjasama ekonomi dengan negara peserta lain dalam forum yang julung kali diadakan di negara itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain