suria

Pengurusan Berita Bernama TV Kini Dibawah Kem. Penerangan

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, buat sementara waktu kerajaan menerusi kementerian itu mengambil tanggungjawab pentadbiran dan operasi bilik berita serta hal ehwal semasa Bernama TV (BTV).

Bercakap kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Bernama TV di Wisma Bernama di sini dengan diiringi oleh Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, pada Khamis, beliau berkata program seperti Helo Malaysia, SWOT dan yang lain, akan berjalan seperti biasa.

"Oleh kerana usaha sama antara entiti korporat dahulu dengan Bernama melalui beberapa aral, maka kami mengambil langkah membantu Bernama TV buat sementara sehingga mendapat satu platform yang lebih menguntungkan dan juga lebih saksama dari segi pengkorporatannya.

"Dari segi bilik berita dan juga hal ehwal semasanya, kementerian ambil tanggungjawab atas dasar dan kepegawaiannya dan kita akan lunaskan ini sebaik mungkin," katanya.

Terdahulu, ketibaan Rais disambut oleh Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar, Datuk Hasnul Hassan, Ketua Pengarang Bernama, Datuk Yong Soo Heong serta para pegawai kanan lain.

Rais turut diberi taklimat oleh Hasnul sebelum melawat operasi Bernama TV.

Saham BTV Synergy Sdn Bhd dimiliki oleh Silver Ridge Bhd sebanyak 67 peratus dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebanyak 33 peratus menerusi perjanjian yang dimeterai pada 2008.

Silver Ridge kemudian menghadapi masalah kewangan dan menyerahkan urusan bilik berita BTV kepada satu lagi syarikat swasta, iaitu Redberry Sdn Bhd.

Stesen televisyen itu mula beroperasi pada awal 2008 sebagai televisyen bercorak berita yang pertama di negara ini.

Rais berkata, kementerian mahu memastikan Bernama TV terus berjalan tanpa apa-apa gangguan dan mahu Bernama TV menyebarkan dasar penting kerajaan menerusi pemberitaan serta program-programnya.

"Ada beberapa dasar yang perlu dihormati iaitu Bernama TV perlu mengamalkan kerjasama sinergi dan juga kerjasama simbiotik yang penting untuk kita asaskan.

"Pada waktu yang sama Bernama akan cari jalan bagaimana pemberitaan sebagai pihak yang diasaskan kerajaan memberi khidmat pemberitaan yang utama di negara berlandaskan masa depan yang lebih cerah," kata Rais.

Rais juga berkata bahawa RTM akan memberi kerjasama penuh kepada Bernama TV dan beliau akan membenarkan sekiranya Bernama TV memerlukan bantuan kepakaran pegawai RTM daripada segi pemberitaan dan hal ehwal semasa.

Ditanya mengenai kedudukan BTV Synergy Sdn Bhd berikutan pengambil alihan hal ehwal pemberitaan oleh kementerian, beliau berkata: "Itu akan kita kemaskini berlandaskan perjanjian dan lunas undang-undang.

"Perkara yang masih tertunggak di bawah perjanjian akan kita senaraikan dan tuntutan-tuntutan undang-undang dari segi perjanjian itu...yang mana telah mansuh, yang mana harus kita perbaharui...kita letakkan kepada kerja rumah yang baru.

"Kami lakukan ini di atas kuatkuasa perundangan...seperti mana yang sedia maklum pada Februari 2008 kerja menswasta program dengan Bernama berlaku, tapi sayang sekali ada beberapa aspek dalam perjanjian itu yang seharusnya memberi kepentingan dan juga perlindungan kepada kerajaan (tidak dipenuhi). Dan saya yang mewakili kepentingan kerajaan akan melihat kembali apakah hal-hal itu yang perlu kita jadikan kerja rumah dan hasilkan.

"Kepada pihak-pihak yang lama termasuk Silver Ridge dan juga BTV Synergy, kita ucapkan terima kasih dan kita buka lembaran baru agar pembinaan 1Malaysia ini dapat disokong Bernama sepenuhnya bagi kejayaan maksimum," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain