suria

Muktamar Tahunan PAS: Program JOM Anjuran Pemuda PAS Pusat Dikritik Selepas Dilancar

SHAH ALAM: Kurang 24 jam dilancarkan, program 'Jelajah Orang Muda (JOM) Ubah' yang dilancarkan Dewan Pemuda PAS Pusat dikritik dan diragui keberkesanannya.

Perwakilan Pemuda PAS Kedah, Ahmad Izzat Shauki berkata, program berkenaan dikuatiri akan memberi kesan buruk kepada parti itu sendiri.

Jelas beliau, kelemahan dari segi sistem penerangan mengenai objektif program tersebut boleh menyebabkan PAS dan Pakatan Rakyat menghadapi kegagalan pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Saya harap JOM Ubah ini benar-benar difahami kerana jika tersalah faham... rakyat akan ubah kerajaan PAS Kedah sekarang.

"Sebab itu saya rasa program seperti ini tidak sesuai dilaksanakan di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat," katanya pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Ketua Pemuda di sini, Khamis.

Beliau menyentuh mengenai program terbaru Pemuda PAS Pusat yang dilancarkan Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa pada Rabu malam bertujuan sebagai gerak gempur menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Ahmad Izzat yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Kedah berkata, kepimpinan Pemuda PAS Pusat perlu menjalankan pemantauan terhadap semua program-program yang dianjurkan sayap parti itu.

"Saya ingin tekankan bahawa setiap program yang kita buat perlu dipantau dengan baik.

"Pemantauan perlu dibuat bagi memastikan sama ada ia berjaya dicapai atau pun tidak," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Izzat turut mencadangkan agar satu sistem petunjuk prestasi utama (KPI) dilaksanakan kepada kepimpinan Pemuda PAS di semua peringkat.

"Saya cadangkan sistem ini diperkenalkan supaya kita dapat mengukur hala tuju dan sasaran kita," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain