suria

Rasuah: Broker Dipenjara Sebulan, Denda RM240,000

SHAH ALAM: Seorang broker syarikat pembinaan pada Isnin, dihukum penjara sebulan selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan menerima rasuah bernilai RM38,000, empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mat Ghani Abdullah turut memerintahkan agar Ruslan Md Kasim, 50, menjelaskan denda sebanyak RM240,000 atau jika gagal, dipenjarakan selama 24 bulan.

Bagaimanapun, Mat Ghani membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kerana berhasrat untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Untuk tujuan itu, beliau menetapkan agar jaminan tertuduh sebanyak RM7,000 sebelum ini dinaikkan menjadi RM14,000 dengan seorang penjamin dan notis rayuan perlu difailkan pada Isnin.

Ruslan didakwa atas tujuh pertuduhan menerima rasuah itu dalam bentuk cek Bank RHB daripada pemilik Syarikat Interfern Industries Sdn Bhd, Ong Kim Weng antara 22 Januari dan 10 Disember 2007.

Kesalahan itu didakwa diterima di pejabat syarikat pengubahsuaian itu yang terletak di nombor 31-2-1, Jalan 1.6D, Medan Putra Business Centre, Kepong, dekat sini.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh kerana telah membantu mendapatkan kontrak pengubahsuaian di Perangsang Templer Golf Club kepada Interfern.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa megikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan sebelum ini melibatkan keterangan 15 saksi pendakwaan manakala tertuduh tidak mengemukakan saksi lain untuk menyokong pembelaannya.

Pada prosiding itu, peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan terhadap anak guamnya dengan mempertimbangkan keadaan keluarga tertuduh.

"Tertuduh mempunyai tiga orang anak dan isteri yang menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis. Sejak dia didakwa di mahkamah, tertuduh tidak bekerja dan kini menganggur.

"Isteri tertuduh adalah seorang kerani dan pendapatan bulanan keluarga tertuduh adalah RM1,300. Ini juga adalah kesalahan kali pertama tertuduh dan saya mohon belas kasihan mahkamah," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Wee kemudiannya membantah permohonan Wan Shahrizal agar tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik.

Menurut Ng, bon tersebut boleh dikenakan dengan memenuhi beberapa syarat seperti usia tertuduh, masalah kesihatan ataupun jika ia melibatkan kesalahan yang kecil, berbeza dengan rasuah yang merupakan kesalahan yang serius.

"Saya bersetuju bahawa mahkamah boleh bersimpati dengan tertuduh, tetapi dengan rendah diri saya hujahkan mahkamah tidak boleh terlalu simpati kerana tertuduh perlu memikirkan kesan jenayah yang dilakukannya terhadap keluarga sebelum melakukannya," tambah Ng.

Artikel Berikut

Artikel Lain