suria

Najib Akan Hadiri Persidangan Antarabangsa Nikkei

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menghadiri Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-17 di Tokyo pada Khamis ini, menurut kenyataan Kementerian Luar pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, Najib, yang akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Jepun bermula Rabu. Ini merupakan Persidangan Antarabangsa Nikkei yang pertama dihadiri Najib semenjak mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009, menurut kenyataan itu.

Najib dijadual menyampaikan ucaptama pada persidangan itu dan juga dijadualkan menghadiri mesyuarat meja bulat dengan Pertubuhan Ekonomi Jepun-Malaysia.

Persidangan Antarabangsa Nikkei adalah forum tahunan yang menghimpunkan ketua-ketua kerajaan dan eksekutif perniagaan terkemuka dari rantau Asia bagi membincangkan mengenai pembangunan dan masa depan rantau ini.

Persidangan tahun ini bertajuk "Stronger Ties and Greater Growth: Keys to Overcoming Asia's Challenge" (Hubungan Lebih Kukuh dan Pertumbuhan Lebih Besar: Kunci Untuk Menangani Cabaran Asia), akan membincangkan isu seperti "Asia's Economy After the Quake - The Path to Reconstruction and Growth" (Ekonomi Asia Selepas Gempa Bumi - Laluan bagi Pembinaan Semula dan Pertumbuhan) dan "Post-quake Revival and the Role of Regional Security" (Pemulihan Selepas Gempa Bumi dan Peranan Keselamatan Serantau).

Antara tokoh yang dijangka hadir pada persidangan itu ialah bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew, menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Lain