Warga Emas Dirompak Kerugian RM7,000 - Semasa | mStar

Warga Emas Dirompak Kerugian RM7,000

YAN: Seorang ibu tunggal warga emas mengalami kerugian sebanyak RM7,050 selepas dirompak di rumahnya di Kampung Permatang Kechil, Kuala Sungai Daun di sini, Ahad.

Mangsa Azizah Mat Isa, 63, bersama seorang anak lelaki serta rakan lelakinya yang berusia lingkungan 20-an diikat pada tangan dan kaki oleh tiga perompak kira-kira 8 malam semalam, manakala cucu perempuannya, berusia 11 tahun, turut berada dalam rumah berkenaan tidak diapa-apakan.

Menurut Azizah tiga orang perompak yang datang ke rumahnya itu pada mulanya disangkakan anggota polis kerana menyoal siasat mereka dengan pelbagai pertanyaan.

"Makcik baru sudah sembahyang Maghrib tiba-tiba dengar ketukan pintu, cucu makcik buka pintu sebab dia ingat ayah dia rupa-rupanya tiga orang yang tidak dikenali yang berlagak seperti polis cuba tanya banyak soalan daripada kami," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya selepas beberapa minit tiga orang perompak itu menyerbu masuk rumahnya dan mengacukan senjata tajam di lehernya dan merompak barang kemas dan wang tunai RM50. "Makcik tidak berani melawan sebab diacu pisau di leher, mereka menyelongkar rumah dan salah seorang daripadanya merentap barang kemas makcik ini iaitu dua utas rantai, seutas gelang, sebentuk cincin dan duit," kata Azizah.

Katanya ketiga-tiga penjenayah itu melarikan diri selepas merompak dan cucunya yang tidak diikat cuba melepaskan ikatan mereka.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Yan DSP Ismail Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan.

"Sehingga kini polis masih belum mengenal pasti suspek dan siasatan sedang giat dijalankan," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain

Model buta sebelah kerana tatu mata

Tommy Thomas letak jawatan Peguam Negara