suria

Ketua Hakim Negara Tidak Kritikal, Dimasukkan Ke CCU

KUALA LUMPUR: Pegawai Khas kepada Ketua Hakim Negara, Mohd Aizuddin Zolkeply menjelaskan Tun Zaki Tun Azmi tidak berada dalam keadaan kritikal seperti yang dilaporkan.

Bagaimanapun, katanya, Zaki dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN) di sini kira-kira pukul 10 pagi tadi untuk menjalani pemeriksaan rutin.

Mohd Aizuddin turut menafikan yang Zaki terjatuh daripada katil sehingga menyebabkan beliau terpaksa dikejarkan ke IJN kerana dilaporkan kritikal.

"Ia tidak benar. Tunggu saja kenyataan media secara rasmi daripada pihak kami nanti," katanya ketika ditemui mStar Online di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa Mahkamah Persekutuan turut menafikan laporan bahawa Ketua Hakim Negara terjatuh ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Sebaliknya, Pegawai Perhubungan Awam Istana Kehakiman, Yasmin Abdul Razak berkata, Zaki hadir ke Hospital Putrajaya pada pagi Isnin untuk pemeriksaan kesihatan dan kemudiannya telah dirujuk ke IJN untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Adalah dimaklumkan bahawa laporan bahawa Ketua Hakim Negara telah jatuh sewaktu berada di Hospital Putrajaya adalah tidak benar sama sekali.

"Beliau hadir ke Hospital Putrajaya pada pagi ini untuk pemeriksaan kesihatan dan kemudiannya telah dirujuk ke IJN untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Terdahulu, Zaki dilaporkan berada dalam keadaan kritikal setelah dikatakan mengalami tekanan darah rendah dan komplikasi jantung.

Beliau dikatakan mengalami serangan jantung di rumah dan kali kedua ketika berada di Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.

Zaki kemudiannya dikejarkan ke IJN untuk rawatan susulan.

Artikel Berikut

Artikel Lain