suria

PPKKM Mahu Kerajaan Segera Selesai Harga Tawaran Kontrak

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia perlu menyelesaikan segera isu harga tawaran kontrak oleh sektor awam kepada syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan yang sudah tertangguh sejak Januari lepas.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) Datuk Shaheen Mirza Habib berkata ahli persatuan itu tidak mampu melaksanakan skim gaji pokok baru iaitu RM700 pada 15 Februari lalu kerana tiada maklum balas daripada kementerian tersebut mengenai harga tawaran kontrak itu.

Kebanyakan syarikat swasta bersetuju dengan harga tawaran kontrak baru tetapi mereka masih belum menerima kata putus dari kementerian, katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Katanya seramai 40,000 pengawal keselamatan bekerja di sektor awam dengan sebahagian besar daripada mereka di Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

PPKKM tidak melaksanakan skim gaji minimum itu pada 15 Feb lalu selepas Kementerian Sumber Manusia memberi kelonggaran sehingga 30 Jun ini untuk melaksanakannya.

Shaheen berkata tempoh lanjutan oleh kementerian itu adalah bertujuan memberi masa kepada syarikat keselamatan berunding dengan pelanggan mereka dari sektor awam dan swasta untuk mencapai persetujuan bersama dalam kenaikan harga tawaran kontrak.

Katanya syarikat keselamatan menghadapi risiko dikenakan tindakan tegas oleh Jabatan Tenaga Kerja sekiranya gagal melaksanakan skim gaji minimum itu selepas 30 Jun ini berikutan kelewatan kementerian menyelesaikan harga tawaran kontrak baru.

Menurutnya, syarikat menghadapi masalah melaksanakan skim gaji minimum baru kepada pengawal keselamatan yang bertugas di premis sektor awam kerana pihak kerajaan masih mengguna pakai harga kontrak lama yang menyebabkan mereka tidak dapat mengaut sebarang keuntungan.

Sebelum ini, PPKKM mencadangkan supaya harga tawaran kontrak kepada syarikat kawalan keselamatan dinaikkan antara 67 hingga 75 peratus jika kerajaan tetap menguatkuasakan kenaikan gaji minimum pengawal keselamatan.- BERNAMA

Artikel Lain