suria

Mat Sabu Dahului Pencalonan Timbalan Presiden PAS

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Mohamad Sabu dilaporkan sedang mendahului senarai pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden mengatasi penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa setakat Ahad lepas.

Menurut sumber dalaman PAS, Mohamad yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Mat Sabu’ setakat ini telah berjaya memperolehi 70 pencalonan berbanding Nasharuddin yang mendapat 40 pencalonan selepas lebih daripada 133 kawasan selesai mengadakan mesyuarat masing-masing.

PAS mempunyai 179 kawasan di seluruh negara.

“Berada di tempat ketiga ialah Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man dengan 17 pencalonan diikuti Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (5 pencalonan).

“Seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin masing-masing mendapat satu pencalonan,” kata sumber itu lagi kepada mStar Online di sini, Isnin.

Beliau berkata sehingga kini, hampir 75 peratus kawasan telah mengadakan mesyuarat dan menghantar pencalonan bagi jawatan tertinggi PAS itu ke Ibu Pejabat.

Tarikh akhir bagi mengemukakan pencalonan ialah Ahad depan, 15 Mei.

Setakat ini, hanya Mat Sabu menyatakan pendirian terbuka untuk bertanding jawatan timbalan. Penyandang jawatan, Nasharuddin turut menyatakan pendirian untuk mempertahankan jawatannya itu.

Pada pemilihan 2009, Nasharuddin dicabar oleh dua bekas Naib Presiden iaitu, Datuk Husam Musa dan Mat Sabu.

Husam memperoleh 281 undi berbanding Nasharuddin yang mendapat 480 undi untuk mengekalkan jawatan yang disandangnya sejak 2007. Mat Sabu pula mendapat 261 undi.

Muktamar Tahunan PAS ke-57 akan berlangsung dari 3 hingga 5 Jun ini. Ia dilihat penting kerana kepimpinan baru yang bakal terpilih nanti akan mengemudi jentera pilihan raya parti menghadapi pilihan raya umum yang ke-13 nanti.

Artikel Lain