suria

Soi Lek Jelaskan Pendirian MCA Mengenai Kerjasama Umno-Pas

MELAKA: MCA berkata pada Ahad ia tidak ada masalah jika UMNO dan PAS bekerjasama demi perpaduan Melayu dan Islam, tetapi mahukan PAS meninggalkan dasar menjadikan Malaysia negara pemerintahan Islam jika mahu menyertai semula gabungan Barisan Nasional (BN).

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata tidak ada salahnya jika UMNO dan PAS berbincang dari masa ke masa tentang hal-hal bersama.

"Tetapi pendirian MCA amat jelas, bahawa kami tidak akan menerima dasar PAS berhubung penubuhan negara pemerintahan Islam," katanya kepada wartawan di akhir Khemah Sumbang Saran Pemimpin MCA peringkat nasional selama tiga hari di Air Keroh, di sini Isnin. Dr Chua mengulas gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Terengganu semalam agar PAS bekerjasama dengan BN dan memutuskan hubungan dengan DAP.

"Perdana Menteri amat menyedari pendirian MCA dalam hal PAS menyertai semula BN," kata Presiden MCA itu.

Mengenai komen Najib yang MCA telah menyampaikan mesej kepada pengundi Cina bahawa mereka tidak boleh menyokong pembangkang dan kemudian mengharapkan perwakilan Cina yang kuat dalam kerajaan, Chua berkata ini adalah satu kenyataan fakta.

"Kenyataan saya tidak bermaksud mengancam tetapi dimaksudkan untuk menghormati pengundi Cina jika keputusan kita tidak sebaik atau lebih buruk daripada pilihan raya umum lepas," katanya.

MCA mempunyai 15 ahli parlimen dan 31 anggota dewan negeri daripada 40 kerusi parlimen dan 90 kerusi negeri yang diperuntukkan pada pilihan raya umum 2008.

Mengenai khemah itu yang dihadiri oleh 340 anggota, Dr Chua berkata para anggota diminta agar mula membuat persiapan untuk pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata penekanan ialah terhadap perpaduan untuk membina semangat berpasukan dalam menghadapi pembangkang, khususnya DAP yang didakwa bijak mengelirukan pengundi.

Pada majlis itu, Dr Chua melancarkan uniform baru untuk ahli-ahli parti, yang memakai logo parti dan mempunyai lapisan biru pada kolar berbanding uniform sekarang berwarna putih seluruhnya.- BERNAMA

Artikel Lain