suria

Muktamar Agung PAS: Pencabar Abdul Hadi Hanya Diketahui 15 Mei

PETALING JAYA: Teka-teki sama ada Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dicabar calon lain untuk jawatan Presiden PAS akan diketahui pada 15 Mei ini, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali.

"Setakat ini, belum dipastikan sama ada Abdul Hadi akan dicabar calon lain kerana senarai akhir calon yang bertanding akan diketahui pada 15 Mei nanti.

"Keputusan sama ada beliau akan dicabar atau mengekalkan jawatannya bergantung kepada senarai pencalonan yang diterima nanti," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Menurut Mustafa, tarikh untuk semua 179 PAS kawasan menghantar senarai pencalonan bagi pemilihan pucuk pimpinan parti sudah dilanjutkan kepada 15 Mei berbanding tarikh terdahulu iaitu 10 Mei.

"Masih ada masa lagi untuk setiap kawasan menghantar pencalonan masing-masing. Kita masih lagi menunggu senarai calon yang akan bertanding. Selepas itu barulah kita ketahui sama ada jawatan presiden mahupun jawatan tertinggi lain akan dipertandingkan," ujarnya.

Terdahulu, Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa mempertahankan pendiriannya untuk tidak bertandi merebut jawatan presiden parti itu meskipun menerima pencalonan daripada beberapa cawangan.

Sebaliknya, Husam hanya mahu bertanding bagi peringkat anggota jawatankuasa dan menyuarakan sokongan padu terhadap Abdul Hadi untuk mempertahankan jawatan beliau.

Husam pernah bertanding bersama Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu dua tahun lalu tetapi tewas kepada Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa dalam saingan tiga penjuru.

Muktamar Tahunan Pas ke-57 yang akan diadakan pada 3 hingga 5 Jun ini merupakan medan penting bagi parti itu bagi menentukan masa depan Pas dalam arena politik negara.

Selain tewas dalam empat pilihan raya kecil di Semenanjung, Pas turut gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandingi pada Pilihan raya Negeri Sarawak, 16 April lalu.

Artikel Lain