suria

LDP Tidak Harus Biar Diri Dimanipulasi

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah kelihatan banyak mengkritik kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman walaupun kenyataannya Ketua Menteri menjalankan tugas dengan baik terutama dalam memacu ekonomi negeri, kata Setiausaha Politik Ketua Menteri Jimmy Wong.

Beliau berkata kepimpinan parti itu tidak seharusnya membenarkan diri mereka dimanipulasi secara berterusan oleh pihak lain, yang hanya mementingkan diri.

"Saya syak sama ada LDP ingin berseteru dengan Musa atas sebab-sebab yang hanya diketahui mereka, atau mungkin ada 'kuasa yang tidak kelihatan' yang memanipulasi mereka untuk memberikan imej buruk kepada Musa dengan niat untuk menjatuhkannya," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Wong berkata demikian sebagai mengulas analisis oleh Timbalan Presiden LDP Chin Su Phin mengenai keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini, yang menyamakan kedudukan Musa dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang dianggapnya menjadi punca kegagalan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) meraih banyak sokongan, sekaligus menyaksikan kekalahan presiden parti itu Tan Sri Dr George Chan mempertahankan kedudukannya.

Wong yang menolak kenyataan Chin berkata analisis itu tidak betul, boleh dipersoalkan, malah dengan jelas berniat untuk memburukkan Musa dengan sasaran untuk menjatuhkan pemimpin negeri itu. "Andaian beliau kononnya kekalahan SUPP disebabkan oleh Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terutama Taib Mahmud, seolah-olah memberitahu bahawa kekalahan LDP disebabkan Umno atau PBS. Agaknya dia sedang mencari-cari alasan kerana kalah dalam pilihan raya akan datang, mungkin sedang merancang untuk menyalahkan pihak lain," katanya.

Wong turut menolak analisis Chin, dengan mengatakan bahwa kenyataannya ialah PBB menang semua kerusi yang ditandinginya, malah di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri majoritinya bertambah.

Katanya Chin juga membuat andaian yang sama semasa pilihan raya kecil Batu Sapi sebelum ini, kononnya jika kepimpinan BN tidak berubah, BN akan kalah dalam pilihan raya itu; namun apabila BN menang dengan majoriti lebih besar, LDP turut mengaku mereka juga bertanggungjawab terhadap kemenangan itu.

Menurutnya langkah LDP baru-baru ini yang mengalih tumpuan daripada komuniti Cina kepada bumiputera, mungkin disebabkan ia kini sedar bahawa ia sudah kehilangan pengaruh dan sokongan komuniti Cina. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain