suria

Polis Beri Jaminan Proses Pengundian Pilihan Raya Sarawak Esok Berjalan Lancar

KUCHING: Polis memberi jaminan proses pengundian pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 esok akan berjalan lancar di kesemua 1,000 pusat mengundi dan 2,600 saluran undi.

"Kita sudah kenal pasti tempat dan anggota yang perlu ditugaskan untuk melicinkan proses pengundian esok. Kita harap pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar. Proses demokrasi kita hendaklah sentiasa berkekalan," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Law Hong Soon.

Beliau berkata anggota polis yang mencukupi turut ditugaskan untuk proses pengiraan undi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta semua agensi berkenaan sudah pun bersedia untuk memastikan kelancaran sepanjang proses pengundian.

"Semua pusat undi dan saluran undi memang ada anggota untuk menentukan supaya segala proses pengundian esok berjalan lancar seperti beratur dengan sistematik ke pusat undi, tiada perayu undi dan kekacauan," Law berkata pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, Jumaat.

Beliau juga mengingati semua parti yang bertanding supaya semua bentuk kempen sama ada ceramah atau kempen rumah ke rumah hendaklah dihentikan pada jam 12 tengah malam ini.

"Hari ini merupakan hari terakhir hari tempoh kempen dan sepanjang tempoh kempen selepas hari penamaan calon sehingga semalam keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di Sarawak masih terkawal dan aman," katanya.

Mengenai permohonan permit kempen pilihan raya, beliau berkata sehingga semalam, polis telah mengeluarkan sebanyak 1,887 permit dan menerima 263 laporan polis, dengan 46 daripadanya telah dibuka kertas siasatan.

Law juga meminta kerjasama pengundi supaya mematuhi arahan daripada anggota polis yang bertugas bagi memastikan tiada kesesakan lalu lintas dan proses pengundian berjalan lancar. - BERNAMA

Artikel Lain