suria

Agensi Berita China, Xinhua Buka Ibu Pejabat Di KL

KUALA LUMPUR: Agensi berita China, Xinhua bersetuju untuk menubuhkan ibu pejabat rantaunya di Kuala Lumpur, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

Beliau berkata ia merupakan satu langkah yang sangat positif untuk Malaysia. Wakil agensi berita itu menemui Perdana Menteri di luar Persidangan Melabur di Malaysia 2011 di sini," kata Najib dalam tweetnya pada Selasa.

Kemudian, Ketua pengarah Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (Mida), Datuk Jalilah Baba memberitahu pemberita bahawa agensi berita itu akan juga menjadi rakan pelaburan sebuah kolej tempatan di Nilai, Negeri Sembilan untuk menubuhkan program latihan bagi wartawan khusus dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan temph masa dan jumlah pelaburan kerana rundingan masih dijalankan.

"Semua berita di negara ini akan dibekalkan melalui Xinhua untuk disampaikan kepada komuniti bertutur bahasa Mandarin di seluruh dunia khasnya di China," kata Jalilah.

Media rasmi China itu yang mempunyai koresponden di Malaysia kini merupakan sumber rasmi untuk laporan harian mengenai kehidupan rakyat China yang kini telah berubah ke arah pemodenan.

Xinhua, yang ditubuhkan pada 1931 mempunyai lebih 100 biro di seluruh dunia dan menyalurkan berita dalam enam bahasa, China, Inggeris, Perancis, Rusia, Sepanyol dan Arab. -BERNAMA

Artikel Lain