suria

Pengundi Cina Sukar Buat Pilihan - Wai Neng

KUCHING: Kaum Cina, yang membentuk hampir satu pertiga daripada pengundi pada pilihan raya negeri Sarawak Sabtu depan, menghadapi kesukaran untuk menentukan sama ada akan menyokong kerajaan atau pembangkang, kata seorang pemimpin masyarakat.

Pemanca bagi Bandaraya Kuching, Ko Wai Neng berkata meskipun begitu, beliau secara peribadi percaya bahawa kaum berkenaan seharusnya menyokong Barisan Nasional (BN).

"Pilihan raya ini amat penting daripada perspektif negara secara keseluruhan. Penduduk Cina di negara ini hanyalah 23 peratus, ini bermakna jika kita mahu meningkatkan kedudukan dan menjaga kepentingan dalam kerajaan, kita perlu berada dalam kerajaan dan BN adalah sebuah kerajaan," kata Ko kepada Bernama.

Pemanca adalah pemimpin masyarakat berkedudukan kedua tertinggi selepas Temenggong, disusuli oleh Penghulu dan Kapitan.

Ko adalah bendahari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuching, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Cina Kuching dan Samarahan serta Anggota Lembaga tiga buah sekolah Cina.

Pada 2006, parti komponen berasaskan Cina dalam gagasan BN negeri iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), memenangi hanya 11 daripada 19 kerusi yang ditandinginya, kalah enam kerusi yang dikuasai pengundi Cina kepada DAP.

DAP telah meningkatkan taruhannya untuk mencabar SUPP dalam 15 daripada 19 kerusi yang sekali lagi akan ditandingi oleh SUPP.

"Sebenarnya, saya berpendapat masyarakat Cina berdepan kesukaran untuk membuat keputusan, mereka perlu menimbangkan dengan penuh hati-hati dan membuat keputusan yang bijak. Rakyat Malaysia mempunyai kehidupan yang sangat stabil, tidak seperti negara lain umpamanya di Timur Tengah, yang banyak berlaku perang saudara.

"Pembangkang mengadakan banyak ceramah, mereka boleh berkata apa saja tetapi mereka bukanlah kerajaan. Bagaimanapun apabila kerajaan berkata sesuatu, mereka perlu mengotakannya," kata Ko.

Ko berkata msyarakat Cina dan semua kaum yang berbeza telah berganding bahu untuk meletakkan asas bagi negara ini dan sejak 50 lepas, terdapat pemimpin yang berbeza dengan cara pemikiran dan dasar yang berbeza.

"Perdana Menteri adalah pemimpin yang benar-benar mahukan perubahan," kata Ko mengenai Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditemuinya sekali lagi semasa minum teh pada Khamis lepas ketika Perdana Menteri melawat Kuching.

Ko, anak jati Kuching yang berusia lingkungan 60-an, berkata pertemuan antara wakil kaum Cina dan pemimpin negeri serta persekutuan telah membantu kedua-dua pihak untuk saling meningkatkan persefahaman dan perbincangan itu berakhir dengan nada yang positif.

Ko berkata satu daripada perubahan ketara yang dilaksanakan kerajaan ialah menyelesaikan masalah kewarganegaraan terutamanya membabitkan warga emas.

"Sebelum ini memang sangat sukar terutamanya bagi mereka yang dilahirkan di China. Tahun lepas, kami mengumpul beratus-ratus permohonan dari Kuching dan mengemukakannya ke Putrajaya. Terdapat juga beratus-ratus permohonan dari Miri dan Sibu, saya percaya jumlahnya lebih 1,000," katanya.

Kerajaan negeri turut meluluskan tanah seluas 2,000 hektar di Kapit untuk dimajukan sebagai salah satu cara mengutip dana bagi 14 sekolah Cina persendirian di Sarawak.

Ko berkata satu lagi isu pendidikan membabitkan masyarakat Cina ialah untuk memohon kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang dikeluarkan oleh sekolah menengah Cina persendirian yang membolehkan pemegangnya memohon untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam di Malaysia dan menyertai perkhidmatan kerajaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain