suria

Najib Mahu Penjawat Awam Terap Elemen 'Strategi Laut Biru'

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mahukan setiap anggota pentadbiran awam menerapkan empat elemen penting yang terkandung dalam "Strategi Lautan Biru" dalam pengurusan tugas mereka.

Perdana Menteri berkata empat elemen tersebutialah "mengurang", "menghapus", "mewujud" dan "menambah peluang".

Beliau berkata dengan menerapkan elemen-elemen tersebut, maka pencapaian dan keberhasilan sektor pentadbiran awam akan terus meningkat.

"Jadi dengan cara pendekatan seperti ini, saya percaya kita akan dapat melihat pendekatan kerajaan ini bukanlah melalui aspek agenda utama sahaja.

"Tetapi kita gunakan apa sahaja pendekatan kelengkapan pengurusan...pemikiran yang lebih kreatif supaya pencapaian dan keberhasilan kita dapat ditingkatkan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, Isnin.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Najib berkata pemikiran "Strategi Lautan Biru" itu melibatkan pemikiran dengan mengaplikasikan cara-cara kreatif dan inovatif dalam setiap penyelesaian.

Selain itu, beliau berkata setiap penjawat awam juga tidak boleh berfikir secara konvensional iaitu menuntut peruntukan dan kakitangan lebih, sekiranya melakukan sesuatu tugas tambahan.

"Kita telah kenal pasti apakah kekangan struktur pelaksanaan kerajaan yang boleh menjadi hambatan untuk kita memacu maju ke hadapan dengan lebih pantas.

"Justeru itu, kita telah membuat kesimpulan bahawa lapan laporan strategi inisiatif perlu dilaksanakan. Semuanya ini kita telah laksanakan di pelbagai peringkat dan berbeza dengan pendekatan dulu," katanya.

Perdana Menteri turut memberi contoh bahawa dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan dapat dilaksanakan dengan cepat, misalnya dalam urusan mengeluarkan pasport antarabangsa, maka elemen "mengurang" perlu diaplikasikan dalam proses berkenaan.

Beliau berkata langkah pihak berkuasa menahan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia baru-baru ini pula, merupakan usaha kerajaan "menghapus" ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah dalam pentabiran awam.

Beliau berkata kerajaan juga akan berusaha untuk "mewujud" dan pada masa sama, "menambah peluang" kepada setiap rakyat, termasuk dalam sektor awam dan swasta di negara ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata tonggak utama dalam pentadbiran awam ialah berpegang kepada prinsip bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan untuk setiap lapisan rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, Najib yang genap dua tahun sebagai Perdana Menteri semalam, berkata penjawat awam perlu bersikap adil terhadap semua rakyat negara ini.

"Saya ingin mengingatkan bahawa salah satu daripada tonggak utama ialah supaya kita berdiri atas prinsip bahawa kerajaan kita adalah kerajaan untuk semua rakyat Malaysia dan kita mesti berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, kepentingan rakyat perlu menjadi keutamaan dalam apa jua tindakan, selaras dengan Gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Beliau berkata apabila timbul sesuatu isu atau perkara itu, kerajaan akan melihat daripada sudut kepentingan rakyat.

Misalnya, beliau berkata apabila pelajar-pelajar Malaysia terkandas di Mesir, kerajaan berusaha untuk membawa pulang mereka ke tanah air.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga telah mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah berhubung isu novel Interlok.

"Inilah kerajaan kita hari ini, jangan kita melihat daripada aspek kita sahaja, kita mesti melihat daripada aspek rakyat...rakyat mesti didahulukan," katanya.

Perdana Menteri turut berharap agar penjawat awam terus meningkatkan prestasi bagi mencapai objektif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), yang semakin mencabar pada masa depan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain