suria

Undi BN Kalau Sayangkan Pembangunan Di Miri - Chan

MIRI: Warga Bandaraya Miri yang selama ini telah banyak menerima pelbagai kemudahan dan nikmat pembangunan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu mengekalkan sokongan itu pada pilihan raya ke-10 Sarawak 16 April ini, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan.

Beliau berkata banyak sumbangan yang telah kerajaan BN beri kepada warga bandaraya Miri dan kebajikan mereka juga sentiasa mendapat perhatian dari semasa ke semasa.

"Kalau sayang Miri, undilah BN...kita tidak janji bulan, tapi kita buat kerja yang boleh dan mampu kita buat, itulah bezanya BN dan pembangkang yang hanya tahu menabur janji yang tidak akan mampu mereka tunaikan," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat kaum Iban di Bandar Baru Parmai Jaya di sini, Ahad.

Katanya pemimpin BN telah membuktikan mereka turun padang bukan hanya ketika musim pilihan raya malah hampir setiap minggu mereka datang ke Miri untuk meninjau dan mendengar masalah rakyat.

Bandaraya Miri yang terkenal dengan industri minyak dan gas meliputi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Piasau (16,600 pengundi), Pujut (22,577) dan Senadin (22,432) di bawah Parlimen Miri dengan jumlah keseluruhan pengundi ialah 61,609.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain