suria

Kerajaan Patut Pertimbang Biasiswa Pelajar Dengan Latar Belakang Mencabar

SELAYANG: Pelajar yang tidak memperoleh A penuh dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi masih mendapat gred yang bagus walaupun datang daripada latar belakang yang mencabar, hendaklah diberikan pertimbangan untuk biasiswa kerajaan.

Presiden MIC Datuk G. Palanivel berkata kini pelajar yang memperoleh minimum 9A dipertimbangkan untuk biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi mereka yang memperoleh kurang daripada jumlah ini, tidak ada pilihan walaupun mereka adalah anak yatim atau datang daripada keluarga yang tidak berkemampuan.

Beliau merujuk kepada Josephine Lee Choon Nee, 18, yang memperoleh 6A1 dan 4B pada SPM 2009 selepas menghabiskan kebanyakan hidupnya di rumah anak yatim dengan dua orang kakak dan seorang adik.

Seorang lagi penghuni di rumah anak yatim, Kesavan yang mendapat 5A dan 2B pada PMR tahun lepas.

"Walaupun latar belakang mereka yang mencabar mereka memeperoleh keputusan yang baik dan dalam keadan tertentu, mereka sepatutnya layak untuk biasiswa," katanya selepas melawat dua rumah anak yatim - Rumah Hope di Petaling Jaya yang diuruskan oleh gereja Good Hope dan Rumah Kanak-kanak Divine Life Society di Kuala Kubu Baharu, kedua-duanya di Selangor.

Lee, di mana ayahnya meninggalkan keluarganya ketika beliau masih kecil lagi dan tinggal di Rumah Hope dan melanjutkan pelajaran dalam Tingkatan Enam berharap beliau memperoleh biasiswa untuk mengikuti kursus perubatan.

Kesavan juga memerlukan bantuan kewangan kerana ayahnya meninggal dunia ketika beliau masih kecil dan ibunya yang tua berpenyakit.

Palanivel yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga melakukan lawatan ke pusat Divine Life Society di Batu Caves di mana beliau memberikan sumbangan peribadi RM10,000 untuk rumah baru itu di kawasan penempatan India di sini.

Beliau juga berikrar untuk memberikan sumbangan RM25,000 bagi rumah anak yatim baru itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain