suria

Gaji Kumpulan Sokongan IPTA Tidak Sesuai:Cuepacs

SHAH ALAM: Hampir 40 peratus daripada 55,000 kakitangan kumpulan sokongan di 20 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara masih mendapat gaji asas yang tidak sesuai dengan kos sara hidup semasa, kata Presiden Cuepacs Datuk Osman Omar.

Beliau berkata di bawah Skim Saraan Universiti (SSU), gaji permulaan kakitangan kumpulan sokongan I ialah RM850 sebulan dan RM647 sebulan bagi kumpulan sokongan II.

"Oleh itu Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia (Gakum) sedang menyiapkan memorandum untuk meminta satu gaji minimum baru ditetapkan untuk kumpulan sokongan ini.

"Gakum akan mengadakan mesyuaratnya di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai pada 17 dan 18 April ini bagi menyiapkan memorandum berkenaan sebelum diserahkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin," katanya.

Osman berkata setakat ini 85 peratus daripada memorandum itu telah disiapkan semasa perjumpaan jawatankuasa khas membuat penambahbaikan SSU yang membabitkan semua wakil Gakum seluruh negara, di sini Sabtu.

Beliau berkata Gakum memohon sekurang-kurangnya gaji asas minimum kumpulan sokongan 1 dan 11 IPTA ialah pada paras RM1,100 sebulan.

Beliau menjelaskan gaji kakitangan sokongan IPTA perlu disemak selaras dengan usaha IPTA untuk menaikkan ranking masing-masing atau bagi mencapai taraf sebagai universiti penyelidikan.- BERNAMA

Artikel Lain