suria

Pengerusi Syabas Dan Isteri Kedua Sah Bercerai

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail dan isteri keduanya, Justynn Cassandra Mohamad Firdaus disahkan bercerai dengan talak satu pada Rabu.

Rozali, 54, melafazkan talak tersebut terhadap Justynn Cassandra, 26, selepas kedua-dua mereka bersetuju untuk meleraikan ikatan perkahwinan tersebut secara baik.

Sehubungan itu, Rozali melafazkan talak satu terhadap Justynn Cassandra pada pukul 4.15 petang di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Mohd Amirul Adam Ahmad.

Permohonan untuk bercerai itu difailkan oleh Rozali mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagaimanapun, tiada persetujuan selepas perceraian direkodkan antara kedua-dua pihak.

Selepas prosiding berlangsung, Rozali dan Justynn Cassandra yang memakai baju kurung dan bertudung hitam beredar secara berasingan.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga di Perlis pada tahun 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata berusia empat tahun dan setahun.

Pada prosiding itu, Rozali diwakili oleh peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan manakala peguam syarie Amli Embong mewakili Justynn Cassandra.

Pada 4 Januari lalu, Justynn Cassandra ada memaklumkan hasratnya untuk memfailkan permohonan bercerai secara fasakh kepada mahkamah yang sama.

Permohonan fasakh tersebut dibuat selepas permohonan asalnya, iaitu untuk berpisah secara baik tidak dipersetujui oleh Rozali.

Artikel Lain