suria

Polis Pantau Pesisir Pantai Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pasukan peronda polis di semua Ibu Pejabat Polis Daerah di Terengganu telah diarahkan untuk memantau sepanjang pesisir pantai Terengganu mulai petang tadi.

Pegawai Bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Asisten Supritendan Shuhaimi Jusoh berkata, ia dibuat sebagai langkah berjaga-jaga kemungkinan laut bergelora dan ombak besar ekoran gempa bumi kuat yang melanda Jepun, Jumaat.

Gempa bumi kuat bermagnitud 8.9 pada skala Richter yang melanda Pantai Timur Honshu, Jepun pada pukul 1.46 petang hari ini, dilapor mencetuskan fenomena tsunami setinggi 10 meter.

"Rondaan dibuat bagi memantau keadaan setelah mendapat arahan daripada Bukit Aman.

"Walaupun kita mungkin tidak terjejas dengan kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun, kita tetap berjaga-jaga dan pasukan peronda akan menasihatkan penduduk agar tidak melakukan ativiti seperti mandi-manda di pantai berikutan jangkaan paras air akan naik," kata Suhaimi.

Beliau berkata rondaan akan dibuat sehingga tengah malam ini bergantung kepada arahan seterusnya.

Katanya orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu di talian 09-6354722. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain