suria

Empat Lelaki Direman Bantu Siasatan Kes Peluru Sesat

KUALA TERENGGANU: Empat lelaki ditahan reman selama seminggu mulai semalam bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pekebun akibat terkena peluru sesat ketika berada di kebunnya di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun pada malam Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K.Manoharan berkata, kesemua mereka yang berumur antara 34 hingga 59 tahun itu, ditahan pada jam 1.45 pagi behampiran kawasan kejadian bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Tiga orang daripada lelaki itu berasal dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah manakala seorang lagi berasal dari Jengka Pahang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata keempat-empat suspek bekerja sebagai tukang rumah, pembantu pertanian, pengawal keselamatan dan pengganggur ditahan ketika baru pulang memburu berhampiran kawasan kejadian.

Hasil penahanan itu, polis turut merampas selaras senapang patah bersama satu kelonsong daripada suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam tersebut, seorang pekebun Mamat Che Ghani, 61, maut dipercayai akibat terkena peluru sesat ketika berada di kebun untuk melihat ternakannya.

Manoharan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah petang semalam mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut dan dada. - BERNAMA

Artikel Lain