suria

Kerajaan Peruntuk RM300 Juta Bantu Rakyat Miskin Miliki Rumah

TEMERLOH: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM300 juta tahun ini menerusi Program Bantuan Rumah kementerian itu untuk membantu rakyat miskin memiliki rumah sendiri.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kementerian berkenaan menyasarkan untuk membina kira-kira 9,000 buah rumah di bawah program itu berbanding 16,000 buah yang dibina tahun lalu.

"Kita akan bantu rakyat memiliki rumah dengan membina rumah bernilai RM33,000 di Semenanjung dan bernilai RM45,000 di Sabah serta Sarawak untuk pastikan mereka ada rumah untuk didiami," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Selain itu, Shafie berkata kementerian juga akan menggalakkan golongan muda yang belajar di Pusat Giat Mara untuk terlibat dalam program berkenaan bagi membina dan membaik pulih rumah.

"Kita mahu latihan yang mereka dapat dalam Giat Mara itu digunakan dalam program ini dan kita lihat setakat ini ramai yang berminat menyertai kita (kementerian) membina dan membaik pulih," katanya.

Terdahulu, Shafie bersama dengan pelatih Pusat Giat Mara bergotong-royong mengecat rumah di Kampung Seri Ketumbit dekat sini bersama-sama kira-kira 200 penduduk kampung itu.

Beliau turut meluangkan masa di Kampung Gunung Senyum dan beramah-mesra dengan penduduk dengan menaiki motosikal melawat dari rumah ke rumah. - BERNAMA

Artikel Lain