suria

Kemenangan Mutlak Lebih Penting - Ahmad Maslan

JASIN: Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata kemenangan mutlak pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau lebih penting daripada kemenangan daripada segi majoriti.

Beliau tidak menolak kejayaan meningkatkan majoriti akan dapat meningkatkan motivasi jentera parti agar bekerja lebih kuat untuk pilihan raya seterusnya.

"Dalam pilihan raya umum 2004 di Kelantan, BN kalah dengan dua kerusi... di DUN Kemuning, Machang BN kalah dengan dua undi sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Kecemerlangan Institusi Keluarga dekat sini, Jumaat.

Jadi, kata beliau tidak relevan jika pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang pada Khamis mendakwa PAS tetap menang jika mereka dapat meningkatkan majoriti pada pilihan raya DUN Merlimau Ahad ini.

Ahmad yakin BN akan dapat meningkatkan majoriti undi di kedua-dua pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau, jika jenteranya berusaha habis-habisan.

"Kalau kita goyang kaki dalam dua hari ini, maka pelarian kita 100meter itu umpama kaki kita dibentes pada 95 meter yang terakhir," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Roslan Ahmad, 44, daripada BN dan calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 56, daripada BN pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau pula diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari, menyaksikan calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad berhadapan calon PAS, Hassanuddin Salim. - BERNAMA

Artikel Lain