suria

Lebih RM3.6 Juta Dibelanja Bangunkan Kemudahan Di Kampung DUN Merlimau

JASIN: Kerajaan membelanjakan lebih RM3.6 juta untuk membangunkan kemudahan awam di kawasan kampung sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau sejak 2008.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kemudahan awam itu termasuk jalan raya, balai raya dan gelanggang sukan untuk kegunaan penduduk kampung berkenaan.

"Daripada jumlah itu, pembinaan jalan kampung melibatkan kos kira-kira RM3 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kecemerlangan Institusi Keluarga di Sekolah Kebangsaan Chenderah di Kampung Chenderah di sini, Rabu.

Pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi itu, Mohd Ali menyampaikan bantuan lebih 70 basikal kepada murid sekolah itu.

Mohd Ali berkata jumlah RM3.6 juta itu tidak termasuk pembinaan jalan utama oleh Jabatan Kerja Raya yang menghubungkan antara kampung tersebut.

Beliau berkata sejak 10 tahun lepas, kerajaan juga telah membelanjakan lebih RM1.8 juta untuk membangunkan rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan DUN Merlimau.

"Bagi tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM600,000 untuk membangunkan rumah PPRT (di Merlimau), orang Merlimau dapat banyak faedah daripada usaha pembangunan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional," katanya.

Mohd Ali berkata dengan pembangunan lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuh AMJ) berharga RM500 juta yang merentas DUN Merlimau, penduduk di kawasan itu juga mendapat faedah daripada segi kemudahan pengangkutan dan peningkatan taraf sosio-ekonomi.

Ini membuktikan kerajaan BN sentiasa membangunkan DUN Merlimau sejak dulu lagi, sekaligus menyangkal dakwaan pembangkang bahawa kerajaan BN hanya membawa pembangunan bila tiba musim pilihan raya sahaja, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain