suria

Jangan Kaitkan Anggota Tentera Dengan Politik - Panglima Tentera Darat

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat Jen. Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin meminta orang ramai supaya tidak mengaitkan anggota tentera dengan agenda politik tanah air.

Beliau berkata penglibatan anggota tentera dalam pembangunan negara hanya untuk menyokong usaha kerajaan ke arah kesejahteraan rakyat dan tidak ada kena mengena dengan politik.

"Kita juga turut terlibat dengan 'nation building' demi kesejahteraan rakyat jelata maka bila kita terlibat dengan ini, kita juga terlibat dengan rakyat dan mungkin ini disalah tafsirkan, ataupun sengaja diputarbelitkan.

"Walaupun saya tentera, ini tidak bererti saya tidak ambil tahu tentang hal politik...tetapi saya tidak terlibat dalam politik. Saya mengambil tahu untuk pengetahuan, tetapi saya tidak terlibat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Perutusan Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke-78 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, Selasa.

Beliau yang mengulas tuduhan sesetengah pihak yang mengaitkan anggota tentera darat dengan kancah politik negara juga menyifatkan tindakan tersebut sebagai mahu menjatuhkan kredibiliti pasukan itu.

Zulkifeli berkata sebagai sebuah angkatan tentera, tugas utama adalah mempertahankan negara dan menyokong usaha yang dilakukan kerajaan yang memerintah.

Mengulas perkara berbeza, Zulkifeli berkata tentera darat akan berbelanja mengikut kemampuan demi memantapkan angkatan tenteranya.

"Berdasarkan perkakasan dan sistem yang canggih, yang kita boleh mampu, sudah tentu kita perlu berbelanja. Ini seperti polisi insurans, kalau anda bayar premium pada sekian jumlah, maka anda akan dilindungi polisi untuk sekian jumlah," katanya.

Terdahulu dalam perutusannya, beliau mahu aset utama tentera darat iaitu sumber manusia dibangunkan sebaik mungkin selaras peredaran masa.

"Secanggih mana pun sesuatu peralatan itu, sekiranya sumber manusia tidak cekap untuk mengendalikan alat itu, maka segalanya adalah sia-sia. Maka saya tekan kepada latihan dan saya berharap tentera darat akan terus membangun dan maju," katanya.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat Lt. Jen. Datuk Wira Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Medan Tentera Darat Lt. Jen. Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Zulkifeli turut menyampaikan Pingat Jasa Malaysia, Pingat Perkhidmatan Setia dan Sijil Ketua Perkhidmatan PTD kepada pegawai anggota tentera dan tiga penjawat awam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain