suria

OopStarz! Lebih ceria, teruja

Wajah baru sisipan OopStarz! yang terdapat dalam akhbar Mingguan mStar, diterbitkan dalam Sunday Star.
Wajah baru sisipan OopStarz! yang terdapat dalam akhbar Mingguan mStar, diterbitkan dalam Sunday Star.
Wajah baru sisipan OopStarz! yang terdapat dalam akhbar Mingguan mStar, diterbitkan dalam Sunday Star.

ESOK genap setahun usia penerbitan sisipan berbahasa Malaysia pertama di dalam akhbar Inggeris, Sunday Star iaitu Mingguan mStar.

Setahun satu usia yang muda dan masih mentah. Dalam melalui proses setahun itu, banyak kelemahan yang saya sendiri akui perlu diperbaiki.

Sebagai permulaan dan hadiah sempena ulang tahun pertama ini, team redaksi Mingguan mStar membuat perubahan baru untuk segmen hiburan dan diberi nama OopStarz!

OopStars! Satu “ikon” nama baru dalam hiburan. Saya selalu mendengar usikan-usikan berbunyi “oops” apabila seseorang mahu memperkatakan sesuatu tetapi dalam masa yang sama seolah-olah mahu merahsiakan kisah itu.

Adegan seperti itu selalunya terjadi apabila artis A mahu bercerita mengenai perangai artis B. “Ada artis kena cerai talak tiga oops!” Demikian contoh ayat yang selalu saya dengar tatkala kisah-kisah gosip artis hendak dibicarakan oleh pihak-pihak tertentu.

Digabungkan dengan nama akhbar ini, maka jenama baru segmen OopStarz! dilahirkan hasil idea bersama. Dengan tagline, ceria, teruja, saya percaya perubahan baru ini membawa peminat dunia hiburan melihat hasil reka letak yang lebih ceria selain bahan-bahan hiburan yang lebih teruja akan dilakukan dari semasa ke semasa.

Ia secara tidak langsung dapat memperlihatkan kelainan dalam usaha memastikan sisipan hiburan ini mendapat perhatian pembaca yang selama ini seperti tidak menyedari kewujudan segmen hiburan.

Wajah baru hiburan ini juga adalah sebahagian daripada permintaan pembaca dan para karyawan seni yang mahu melihat segmen hiburan itu lebih menyerlah.

Maka, kami sajikan kepada pembaca agar nafas baru yang lebih segar sesuai dengan tagline ini dapat diberikan untuk kepuasan semua.

Kami juga berjanji, sempena wajah baru hiburan ini dilakukan, sedikit demi sedikit perubahan akan ditampilkan dalam memberi ruang kepada semua pihak seperti artis baru, karyawan seni, band-band indie termasuklah artis bukan Melayu untuk tampil memenuhi ruang dalam sisipan hiburan baru yang ditampilkan.

Saya berharap semoga anda akan terus ceria dan teruja setiap kali hadirnya hari minggu bersama kami.

NIEZAM: Oops... kecoh ada artis jumpa bomoh untuk menang Juara Lagu!

Jangan sampai jual tanah untuk jadi artis

MINGGU lepas saya berkesempatan menonton di televisyen pemilihan peserta untuk rancangan Mentor. Saya ketawa terbahak-bahak melihat aksi peserta yang tidak mahu mengukur baju pada badan sendiri.

Itulah padahnya apabila kita sentiasa mengatakan kita hebat, kita berbakat, kita boleh itu dan ini tetapi hakikatnya habuk pun tarak.

Saya agak sedih melihat beberapa orang peserta yang memberi kenyataan dia mahu jadi penyanyi untuk ubah nasib keluarga.

Saya nak jelaskan di sini, nasib seseorang bukan boleh diubah dengan menjadi penyanyi. Tetapi nasib itu akan berubah jika kita mempunyai pelajaran yang tinggi.

Saya juga tidak sampai hati melihat peserta yang bekerja menternak dua ekor lembu sanggup datang dari jauh untuk menjadi penyanyi. Sayangnya dia kecundang apabila juri mengatakan dia tidak layak.

Peserta itu berkata dia malu apabila dihina oleh orang kampung yang mengejeknya sebagai seorang penjaga lembu.

Saya ingin jelaskan, orang kampung yang berkata seperti itu adalah orang yang tidak siuman.

Kerja menjaga dua ekor lembu adalah satu pekerjaan yang lebih mulia daripada bersusah payah untuk menjadi seorang penyanyi.

Menjadi petani atau penternak haiwan kalau betul caranya membolehkan seseorang tu menjadi kaya raya.

Saya ingin katakan, memilih untuk menjadi penyanyi dengan bakat yang tidak seberapa bukan tindakan yang bijak.

Saya juga tumpang sedih apabila melihat ada juga peserta yang terpaksa menjual permainan video hanya untuk membeli tiket bas gara-gara ingin menjadi artis ternama.

Kepada pembaca di luar sana, hidup sebagai seorang artis hanya glamor pada nama. Tak semua orang menjadi artis itu kaya raya dan senang lenang. Sebaliknya ada juga yang terpaksa menjadi peminta sedekah untuk hidup.

Yang hebat hanya boleh dikira dengan jari tidak termasuk mereka yang berjaya merampas suami orang ataupun menjadi “gundik” orang kaya-kaya.

Saya meminjam nasihat komposer Ajai kepada seorang peserta dalam pemilihan itu. Kata Ajai, jangan sampai nanti terpaksa jual tanah untuk jadi penyanyi.

Nasihat Ajai itu betul. Ajai juga melalui zaman sukar, kena saman dan macam-macam lagi ranjau dan duri untuk bergelar artis.

Ajai, berjaya kerana dia ada pendidikan dalam bidang muzik. Itu baru cara yang betul jika kita dunia seni menjadi pilihan kita.

Kepada mereka yang hendak menjadi artis dengan alasan mahu merubah hidup keluarga, buang jauh-jauh pendapat itu.

Ubahlah hidup keluarga dengan cara lain walaupun hanya menternak seekor lembu daripada memilih untuk menjadi seorang artis yang kadang-kadang dibuat seperti lembu.

NIEZAM: Jual lelong.

Ramai pelakon tak faham kontrak

Saya melihat karyawan seni kita tak kiralah sama ada penyanyi ataupun pelakon mengambil lewa soal kontrak.

Kejadian ini berlaku sendiri di depan mata saya apabila seorang artis baru terus menandatangani kontrak lakonan yang diberikan tanpa membaca betul-betul isu kandungan kontrak itu.

Saya hanya mendengar artis berkenaan bertanya tiga soalan kepada seorang penerbit drama. Pertama, berapa bayaran lakonannya, berapa adegan dan juga berapa lamakah drama itu hendak dihabiskan.

Selepas mendengar penjelasan, dia terus menandatangani kontrak sedangkan dia tak baca pun kandungan kontrak tersebut.

Seorang pengarah memberitahu saya, kebanyakan kontrak yang disediakan oleh pihak penerbit lebih melindungi penerbit itu sendiri.

Ia lebih berat sebelah dan tidak adil untuk seseorang pelakon.

Jika apa-apa berlaku, produser akan selamat tetapi pelakon yang tetap menanggung akibat.

Perkara ini sudah lama berlaku. Ramai artis yang menyedarinya tetapi mereka tak boleh buat apa-apa kerana takut tak dapat peluang berlakon. Pelakon kita tak boleh nak cakap banyak sebaliknya terus menandatangani kontrak yang diberi walaupun kontrak tersebut tidak melindungi mereka.

Dalam hal ini persatuan-persatuan filem, Seniman haruslah mempunyai garis panduan terhadap penyediaan kontrak agar ia tidak menganiaya artis itu sendiri. Karyawan kita hari ini terlalu memandang remeh perkara itu. Sampai bilakah hendak jadi kerbau yang kena cucuk hidung?

NIEZAM: Cari yang hidung macam "bukit".

Artikel Lain