suria

Dalang Jual Kandungan Rakaman Haram Ditahan Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang utama kepada penjualan kandungan rakaman yang dibuat secara haram menerusi alat perakam kamera video atau kamkoder ditahan di sini, Khamis.

Menurut Motion Picture Association (MPA), lelaki tersebut yang berumur 34 tahun bertanggungjawab ke atas penjualan kandungan rakaman kamkoder dari seluruh dunia.

Lelaki berkenaan ditahan hasil maklumat persatuan tersebut, oleh sekumpulan pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan semasa dia sedang meninggalkan rumahnya.

"Penahanan tersebut melengkapkan siasatan merentasi sempadan yang dilakukan sejak setahun lalu yang operasinya memerlukan usahasama pelbagai agensi dan organisasi dari seluruh dunia," kata Presiden dan Pengarah Urusan MPA Asia Pasifik, Mike Ellis dalam satu kenyataan.

Penahanan yang turut dibantu oleh kakitangan Malaysian Federation Against Copyright Theft, wakil MPA di Malaysia dan Cyber Security Malaysia, turut merampas sejumlah barangan yang mempunyai kaitan dengan penjualan kandungan kamkoder haram serta komputer dari rumah lelaki tersebut.

Menurut Ellis, belum diketahui sama ada suspek sendiri membuat rakaman filem, tatapi dia memainkan peranan penting sebagai broker kepada kandungan rakaman dengan menghubungkan rakaman kamkoder kepada sindiket jenayah di seluruh dunia.

Rakaman kamkoder berlaku apabila seseorang individu atau sepasukan orang memasuki pawagam dan membuat salinan tidak sah sesebuah filem dengan menggunakan alat perakam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain