suria

Khusrin Punyai Tanggungjawab Besar Laksana Dasar Yang Diputuskan, Kata MB

SHAH ALAM: Tumpuan media seharusnya diberikan kepada isu lebih penting iaitu kemampuan Setiausaha negeri Selangor Datuk Mohamad Khusrin Munawi dalam membantu kerajaan negeri melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan dan bukannya semata-mata mengenai majlis angkat sumpah simpan rahsia, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Majlis angkat sumpah simpan rahsia akan dilaksanakan mengikut peraturan, dan semua pihak berkaitan tidak seharusnya bimbang apa-apa. Mohamad Khusrin sudah berada dalam pasukan kami dan diberikan tugas melaksanakan dasar-dasar negeri dari semasa ke semasa, itu yang lebih penting," katanya.

Bercakap kepada pemberita semasa merasmikan satu kursus pembangunan untuk belia dekat sini Ahad, beliau berkata kerajaan negeri sudahpun menyusun semula format mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri bagi mencepatkan majlis angkat sumpah itu.

Pelantikan Mohamad Khusrin pada mulanya menjadi kontroversi apabila Abdul Khalid mendakwa ia tidak sah kerana tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu, namun beliau akhirnya menerima pelantikan berkenaan yang mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu dalam perkembangan lain Abdul Khalid berkata beliau akan menulis surat sekali lagi kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi memohon agar pihak kementerian menimbang cadangan kerajaan negeri untuk menubuhkan pasukan polis bantuan, walaupun cadangan itu sudah ditolak sebelum ini.

Beliau berkata kaji selidik yang dijalankan kerajaan negeri menunjukkan bahawa ramai suri rumah yang tinggal di kawasan yang sering terdedah dengan kejadian jenayah merasa tidak selamat dan mahukan supaya polis bantuan membantu polis dalam usaha mencegah jenayah.

"Tambahan pula kerajaan negeri menerusi majlis tempatan akan menanggung segala perbelanjaan dalam membantun polis bantuan, dan ia adalah hanya untuk sementara," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain