suria

APMM Wilayah Selatan Tahan Dua Kapal Pindah Minyak Secara Haram

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan dua buah kapal tangki ketika sedang melakukan pemindahan 300,000 liter Marine Gas Oil (MGO) tanpa permit di perairan Tanjung Piai awal pagi Jumaat.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata kegiatan dua kapal terbabit, kapal MT Pacific Brave dan MT Pelangi Berjaya dikesan kira-kira tiga batu nautika Tenggara Tanjung Piai pada 1.45 pagi.

Kedua-dua kapal itu gagal mengemukakan permit daripada Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal, katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Zukifili berkata ketika diperiksa, dianggarkan 300,000 liter minyak sedang dipindahkan dari kapal MT Pacific Brave yang didaftarkan di Singapura ke MT Pelangi Berjaya yang berdaftar di Pelabuhan Klang.

Terdapat 18 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Indonesia, seorang Malaysia dan seorang warga Myanmar berumur antara 22 dan 57 tahun berada di atas kedua-dua kapal tersebut.

Katanya pemilik kedua-dua kapal tersebut boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu gagal memaklumkan kepada Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal.

Jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, APMM menggesa orang ramai terutama komuniti maritim supaya menghubungi Pusat Operasi Maritim Wilayah Selatan yang beroperasi 24 jam di talian 07-2199401 hingga 2199410 (10 talian) jika mendapat maklumat aktiviti-aktiviti menyalahi undang-undang maritim negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain